PELAKON seksi Bipasha Basu memberitahu keputusannya untuk berkahwin dengan suami yang juga aktor, Karan Singh Grover adalah tepat walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada kedua-dua orang tuanya.
Menurut pelakon berusia 43 tahun itu, ibu bapanya menentang perkahwinan dengan Karan kerana lelaki itu pernah berkahwin sebanyak dua kali, namun berakhir dengan perceraian.
Kata Bipasha, kegagalan dalam perkahwinan (bercerai) bukanlah suatu kesalahan kerana tidak ada seorang manusia di dunia ini yang inginkan perpisahan.
“Perceraian bukanlah tanda seseorang itu gagal menjadi manusia yang baik. Mereka yang melalui fasa perceraian tidak sepatutnya dipersalahkan.
“Saya perlu menjelaskan kepada ibu bapa bahawa keputusan yang dibuat untuk berkahwin dengannya adalah tepat,” katanya.
Sebelum berkahwin, Bipasha juga pernah beberapa kali melalui fasa kegagalan dalam percintaan. Bipasha sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta bersama aktor Dino Morea dari tahun 1996 hingga 2002.
Selepas berpisah, wanita itu menjalinkan hubungan cinta bersama pelakon John Abraham dari tahun 2002 hingga 2011. Bipasha dan Karan bertemu pada 2015 dan berkahwin setahun kemudian.