TAIPING – Seorang penoreh getah maut setelah motosikal Honda EX5 ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Pesona di Jalan Ayer Terjun Trong dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Law Yok Chau, 82, yang dalam perjalanan ke kebunnya maut ditempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, semasa kejadian kereta Proton Pesona yang dipandu jururawat sebuah klinik bersama seorang penumpang wanita berusia 25 tahun dari arah Padang Gajah ke Pekan Trong.
“Sampai ditempat kejadian, secara tiba -tiba mangsa yang menunggang motosikal telah keluar dari simpang sebelah kiri menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut ditempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE














