PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan berbincang dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat mengenai aspek keselamatan pada saingan Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober ini.
Ini kerana BAM amat mementingkan tahap keselamatan pemain dan pegawai pasukan selepas membuat keputusan untuk tetap mengambil bahagian walaupun Thailand telah menarik diri daripada bertanding pada kejohanan itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menjelaskan pihaknya akan turut berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat mengenai perkara itu.
“Kami akan bertemu dengan BWF dan badan-badan seperti KBS, MSN dan KKM kerana penarikan diri Thailand tidak menjejaskan penyertaan Malaysia. Kami akan tetap mengambil bahagian pada Piala Thomas dan Piala Uber.
“Saya berasakan Wong Choon Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) lebih sesuai mengulas mengenai peluang skuad Piala Uber negara disebabkan keputusan Thailand menarik diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Thailand muncul pasukan ketiga menarik diri daripada menyertai kejohanan badminton berpasukan itu selepas Australia dan Taiwan kerana bimbang dengan faktor keselamatan ekoran wabak pandemik Covid-19 yang masih belum berkurangan.
Berdasarkan kenyataan BWF lewat malam kelmarin, Thailand mengesahkan skuad lelaki dan wanita negara itu tidak akan bertanding di Aarhus atas faktor berkenaan, selain beberapa pemain utama masih lagi mengalami kecederaan.
“Penarikan diri Thailand tidak menjejaskan kejohanan yang tetap diteruskan. Pasukan pengganti belum diumumkan lagi,” menurut kenyataan BWF tersebut.
Bagi saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi yang juga juara 13 kali, Indonesia, England dan Belanda, manakala skuad wanita negara akan berentap dengan Korea Selatan, Indonesia serta Australia untuk Kumpulan B Piala Uber.














