BETUL kata orang apabila kita termakan budi, ia bukan menyenangkan hidup, malah memberi tekanan berlainan dan boleh menyebabkan hidup menjadi tidak menentu dan haru-biru.
Itu yang berlaku kepada seorang wanita yang sudah bersuami dalam kisah Dari Mahkamah Syariah minggu ini yang sanggup menyerahkan tubuh semata-mata tekah termakan budi dengan seorang pelanggan insurans yang kaya serta bergelar Datuk.
Suami wanita tersebut sangat kecewa apabila kebebasan yang diberikan telah disalahgunakan oleh isterinya sehingga sanggup berlaku curang semata-mata untuk cepat kaya.
————————————————————————————————————————————————————–
PERKENALAN antara Rizal dan Lina (bukan nama sebenar) di tempat kerja yang sama telah membawa bibit-bibit percintaan sehingga mereka mengikat tali perkahwinan.
Selepas hampir enam tahun berkongsi hidup, pasangan yang bekerja di tempat yang sama itu dikurniakan seorang cahaya mata berusia sekitar empat tahun.
Perkahwinan pasangan menetap di Lukut, Negeri Sembilan itu tampak sempurna sehinggalah mereka terpaksa mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).
Pemberhentian tersebut tidaklah memberi kesan besar dalam aspek kewangan mereka memandangkan masing-masing mendapat wang pampasan berjumlah puluhan ribu ringgit.
Wang tersebut membolehkan mereka bertahan selama dua tahun untuk membayar komitmen bulanan seperti kereta dan rumah sewa sebelum mendapat pekerjaan baharu.
“Pada mulanya, kami bekerja di tempat kerja yang sama. Malangnya, kami telah diberhentikan kerja serentak selepas syarikat bankrap kerana mengalami kerugian besar,” ujar Rizal ketika ditemu bual baru-baru ini.
Selepas beberapa bulan kehilangan kerja, Rizal memilih untuk melabur wang VSS miliknya bagi memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan di depan sebuah sekolah.
Sebaliknya, Lina giat mencari pekerjaan yang sesuai dengan pendidikan serta pengalaman tugasnya sebelum ini.
Pelbagai kaedah digunakan Lina termasuk secara online.
Malangnya, pekerjaan diharapkan tidak kunjung tiba sehinggalah Lina bertemu seorang rakan universitinya yang mengajaknya terlibat dalam industri insurans dan hibah.
Menurut Rizal, rakan Lina yang dikenali sebagai Syima (bukan nama sebenar) itu boleh disifatkan berjaya dalam industri tersebut apabila berjaya memperoleh pendapatan lima angka setiap bulan.
“Saya tidak kisah Lina terlibat dalam industri insurans dan hibah ini. Saya yakin dia boleh buat memandangkan kebolehannya berkata-kata dan mudah mesra dengan orang,” jelasnya.
Pada dua bulan pertama, Lina banyak menghabiskan masanya dengan mengikuti kursus serta mengambil peperiksaan bagi membolehkannya menjual insurans dan hibah.
Selepas itu, Lina mula aktif melakukan promosi mengenai insurans dan hibah sama ada secara bersemuka atau dalam laman sosial kepada ahli keluarga dan rakan-rakan rapat.
Bagaimanapun, pendapatan diperoleh hasil jualan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan tidak memungkinkan Lina untuk memperoleh pendapatan besar setiap bulan.
Rentetan itu, Lina telah meminta tip daripada Syima mengenai cara memperoleh pendapatan lumayan dalam industri insurans dan hibah.
“Kalau tidak silap saya, Syima ada beritahu andai hendak dapat pendapatan besar kena jual perkhidmatan kepada mereka yang kaya dan memiliki aset besar.
“Semakin banyak nilai seseorang pelanggan itu ambil, semakin tinggilah komisyen yang akan dapat. Bermula detik itulah Lina mula mencari pelanggan lebih kaya,” ujar Rizal.

RIZAL sungguh kecewa apabila kebebasan yang diberikan telah disalahgunakan oleh Lina sehingga sanggup berlaku curang semata-mata untuk cepat kaya.
Syima juga telah memperkenalkan seorang lelaki berpangkat besar yang dikenali sebagai Datuk Jamil (bukan nama sebenar) kepada Lina.
Ulas Rizal, Datuk J memiliki sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur dan dia ingin membeli insurans kepada lebih kurang 1,000 pekerjanya.
“Selepas mengadakan beberapa siri pertemuan, Datuk J akhirnya telah bersetuju mengambil insurans dengan Lina. Jadi, mereka selalu berhubung dan berjumpa.
“Boleh kata, seminggu sekali mereka akan berjumpa di Kuala Lumpur. Disebabkan itu, hubungan antara Lina dan Datuk J jadi kian rapat,” terangnya.
Dengan pendapatan lumayan diperoleh setiap bulan, Lina telah mengubah penampilannya menjadi lebih cantik dan bergaya bagi meyakinkan pelanggan.
Malah, hubungan antara Lina dan Datuk J semakin akrab apabila lelaki separuh abad itu ingin mengambil hibah untuk aset-aset yang dimilikinya.
Pada satu hari, Lina meminta izinnya untuk mengikut Datuk J ke Sabah bagi menyelesaikan proses tuntutan insurans salah seorang pekerjanya di sana.
Sekembali dari Sabah, Rizal dapatkan merasakan perubahan kepada Lina. Justeru, Rizal tergerak hati untuk membuka aplikasi WhatsApp isterinya.
Alangkah terkejutnya Rizal apabila membaca perbualan antara Lina dan Datuk J. Dalam perbualan tersebut, Datuk J ada mengajak Lina bermalam di bilik hotelnya.
Ujar Rizal, dalam perbualan tersebut juga Lina seperti bersetuju bermalam bersama kerana terhutang budi dengan Datuk J yang telah mengambil insurans dan hibah dengannya.
“Saya betul-betul kecewa dengan sikap Lina. Kebebasan diberikan telah disalahgunakan oleh Lina sehingga sanggup berlaku curang semata-mata untuk kaya cepat.
“Disebabkan itu, saya telah melafazkan cerai talak satu di luar mahkamah kerana terlalu marah. Tetapi saya tetap pergi ke mahkamah syariah bagi mendapatkan pengesahan.
“Sewaktu perbicaraan, hakim telah mengutuk sekeras-kerasanya tindakan Lina bersekedudukan dengan lelaki lain dan memintanya supaya segera bertaubat,” ujarnya.














