SETIAP daripada kita mempunyai sejarah kehidupan tersendiri, sama ada ia kenangan menyeronokkan ataupun sejarah hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Bagi Syarifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman, 37, pengalaman pahit yang dialaminya sewaktu menjalani kehidupan di Kuala Lumpur sebelum ini mematangkan dirinya sehingga berjaya muncul sebagai usahawan berjaya.
Dia yang berasal dari Kamunting, Taiping, Perak berkata, sebelum perniagaan ikan pekasam yang diusahakannya ketika ini berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa, dia terlebih dahulu diuji dengan pelbagai cabaran.
Katanya, dia bukan sahaja mengalami kerugian ketika berniaga, tetapi juga pernah menjadi gelandangan selepas ditinggalkan suami sewaktu cuba memulakan kehidupan di ibu negara suatu ketika dahulu.
“Saya berasal dari keluarga susah. Pada tahun 2009 saya ambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki bagi membantu ayah dan ibu di kampung.
“Namun, saya mula diuji apabila ditinggalkan suami ketika sarat mengandung menyebabkan hilang tempat bergantung.
“Selepas melahirkan anak, saya menjadikan masjid dan surau sebagai tempat berteduh,” katanya.
Ceritanya, selepas mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci pinggan di sebuah restoran, dia berjimat cermat dalam berbelanja selain menabung.
Sebaik simpanannya mencukupi, dia pulang ke kampung dan memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual makanan dan minuman di tepi jalan.
Kehidupan Syarifah Nurul Shahida semakin baik apabila bertemu jodoh kali kedua.
Katanya, dia sekali lagi diuji apabila suaminya ada masalah kesihatan.

Semua ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha bagi mengubah kehidupan keluarga dengan mengembangkan perniagaan sedia ada.
Dia kemudian menjalankan perniagaan katering dengan menyediakan hidangan untuk majlis berskala kecil dengan meminjam peralatan daripada kawan.
“Seorang wanita kemudian memberi cadangan agar saya mendapatkan bantuan kewangan untuk mengembangkan lagi bisnes tersebut.
“Alhamdulillah, permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia diluluskan dengan pinjaman modal sebanyak RM2,000,” katanya.
Katanya, bermula daripada hanya menyediakan makanan kepada 100 tetamu, perniagaannya makin maju dan pernah mendapat tempahan makanan untuk majlis dihadiri 7,000 tetamu.
Bagaimanapun, perniagaan katering itu hanya bertahan enam tahun sebelum ditutup akibat penularan pandemik Covid-19 bermula Mac 2020.
Paling menyedihkan katanya, dia terpaksa memberhentikan kesemua pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.
Selepas buntu memikirkan apa harus dilakukan untuk meneruskan hidup, akhirnya dia dan suami mendapat idea untuk meluaskan jualan ikan pekasam yang sebelum ini dijual di kedai.
“Tidak sangka, cubaan pertama saya dengan membuat video makan ikan pekasam secara siaran langsung di laman sosial Facebook mendapat tontonan tinggi,” ujarnya.
Bermula dari detik itulah, kehidupan Syarifah Nurul Shahida mula berubah apabila ikan pekasam yang dipasarkan di bawah jenama sendiri mendapat sambutan luar jangkaan.
Dalam tempoh sebulan, dia berjaya meraih pendaparan sekitar RM100,000 dengan memasarkan 10,000 paket pekasam menerusi jualan di kedai, secara online dan juga menerusi lebih 300 ejen jualan di seluruh negara.
Kini, dia menghasilkan sembilan jenis pekasam lain termasuk daging, telur sotong, perut lembu dan ayam.
Lebih membanggakan katanya, apabila pekasam keluarannya itu turut menembusi pasaran luar negara seperti di Melbourne dan Victoria, Australia selain Singapura dan Indonesia.
“Jika dahulu, saya pernah hidup sebagai gelandangan, tetapi kini bergelar jutawan.
“Lebih menyeronokkan apabila dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada puluhan pekerja termasuk golongan wanita dan ibu tunggal,” katanya.














