SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori tangki warga tempatan ditahan dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini semalam.
Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemandu lori itu ditahan ketika sedang mengisi diesel bersubsidi ke dalam tangki lori menggunakan dua nozel.
Kata beliau, siasatan lanjut terhadap resit pembelian kemudian mendapati lori tersebut telah membuat pengisian diesel bersubsidi sebanyak RM 6,582.85 dalam masa kira-kira 40 minit.
“Selain menahan pemandu lori bersama seorang warga tempatan yang lain, lima penguatkuasa yang bertugas turut menyita 2,800 liter diesel, sebuah lori serta dua unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.
Menurut beliau, serbuan itu dibuat hasil risikan selama sebulan susulan aduan yang diterima daripada orang awam. -K! ONLINE
















