Abu Bakar menunjukkan pagar yang rosak disondol babi hutan kepada pegawai Perhilitan di Kampung Kelongkong di sini, semalam.

[VIDEO] 400 Penduduk Kampung Kelongkong panik ‘diserang’ babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Rutin kehidupan kira-kira 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di sini berubah sekelip mata selepas kawasan itu ‘diserang’ puluhan babi hutan sejak bulan lalu.

Semalam satu video yang sempat dirakamkan penduduk kampung itu tular di media sosial memaparkan beberapa ekor babi berlari di hadapan rumah mereka sehingga menimbulkan suasana panik.

Menceritakan semula kejadian itu, seorang penduduk, Comel Khudrat, 62, berkata, dia hampir cedera selepas tersadung di pintu masuk rumah gara-gara terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut.

“Kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang ketika saya baru selesai mencuci baju di luar rumah. Tiba-tiba saya nampak babi hutan  menuju masuk ke kawasan rumah, saya segera berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim, 76, memberitahu, sepanjang lebih 50 tahun menetap di kampung itu, dia tidak pernah melihat kemunculan haiwan tersebut dalam jumlah yang banyak.

“Saya tinggal di sini sudah lama, sejak bulan lalu memang banyak babi datang ke sini. Setiap hari ada dan semalam saya nampak penduduk kampung berlari akibat dikejar babi.

“Saya hanya mampu halau babi guna mulut. Hendak berlari lutut sakit pula. Rata-rata penduduk di sini sudah takut hendak keluar rumah sebab babi banyak,”katanya.

Pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, pula memberitahu, banyak tanaman yang diusahakannya musnah ‘disodok’ babi hutan dan kini terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Habis pokok ubi dan pisang yang saya tanam disondol babi hutan malam tadi, rasa hampir putus asa pun ada. Sekarang ini keluar rumah pun saya bawa lastik takut babi datang sondol,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN