fbpx
ORANG ramai beratur bagi mendapatkan pelekat RFID untuk dipasang pada kenderaan masing-masing semasa tinjauan di Pusat Pemasangan RFID di Kelana Jaya, Selangor semalam. – AMIR KHALID

Tambah baik sistem bukannya lupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Orang ramai merayu kerajaan supaya mengkaji semula keputusan untuk menghentikan kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag secara berperingkat untuk beralih kepada teknologi Radio Frequency Identification (RFID).

Kebanyakan pengguna jalan raya dilihat masih ‘setia’ membuat bayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag biarpun transaksi RFID sudah dua hari diaktifkan di 83 plaza tol di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Keadaan itu menyebabkan Plaza Tol Sungai Besi menghala ke ibu negara sesak sepanjang lebih satu kilometer (km) terutama pada waktu puncak semalam.

Tinjauan mendapati alat pengesan RFID tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan ada pemandu yang terpaksa mengundurkan kenderaan beberapa kali.

Seorang pemandu, Dawam Mokhtar, 56, berkata, dia lebih selesa menggunakan Smart Tag kerana mudah dan berharap agar kaedah itu tidak dimansuhkan.

“Saya setuju pelaksanaan RFID, cuma pemansuhan Smart Tag dan touch ‘n Go tidak wajar dilakukan. Pihak konsesi boleh menambah lorong FRID, namun dan sesekali mansuh (Smart Tag), biar pengguna membuat pilihan.

“Pihak yang berkaitan sepatutnya meyakinkan pengguna dengan menambah baik sistem RFID, pastikan ia betul-betul memudahkan bukannya membebankan.

“Ketika ini banyak masalah timbul termasuklah pemandu terpaksa undur kereta disebabkan alat pengesan yang tidak berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut lelaki itu, antara inisiatif lain yang boleh dilakukan adalah membuat penukaran peranti Smart Tag dengan pelekat RFID tanpa sebarang bayaran.

Sementara itu, Dr. Osman Katil pula meluahkan rasa kecewa kerana Plus Malaysia Bhd. (Plus) tidak menyediakan ruang dan kaunter buat pengguna yang mahu menggantikan peranti Smart Tag atau membuat aduan.

“Saya mahu ganti peranti Smart Tag, tapi semua kaunter tutup. Jangan susahkan pengguna, selepas itu ajak pengguna beralih kepada teknologi RFID pula,” katanya.

Di Johor, pesara, R. Krisnan, 62, merayu kerajaan supaya mengkaji semula harga pelekat RFID.

“Ketika ini pengguna dikenakan caj RM35 bagi setiap pelekat, saya pula ada tiga kereta. Jika guna kad Touch ‘n Go atau Smart Tag, tiada masalah,” katanya.

Di Ipoh, masih ramai pemandu di bandar raya itu ragu-ragu dengan penggunaan RFID, sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat selepas dilaksanakan sejak 15 Januari lalu.

Kakitangan swasta, Ahmad Firdaus Ahmad Zainal, 33, berkata, walaupun penggunaan RFID dikatakan lebih baik berbanding sistem sedia ada, namun dia yang berulang alik dari Simpang Pulai ke Tapah memilih menggunakan kad Touch ‘n Go atau Smart Tag yang dianggap lebih mudah termasuk jika menukar kenderaan.

“Pelekat RFID tidak boleh dipindah pada kenderaan lain. Jika ada dua kereta maka kena beli pelekat, ini sudah pasti membebankan,” ujarnya.

Bagi penjawat awam, Idham Samsul pula, dia masih lagi menggunakan Touch ‘n Go dan berharap pihak PLUS memberikan penerangan yang jelas dan terperinci sekiranya berlaku masalah pada sistem RDFID.

“Walaupun RFID dapat melancarkan aliran trafik, namun apa jaminannya,” soalnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN