fbpx

Isu tunggakan gaji MUFC bakal selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULAIMAN hanya memberi respons ringkas ketika ditanya mengenai isu tunggakan tiga bulan gaji pemain Melaka United di Kompleks Japerun Bemban, Jasin semalam.

KEMELUT pembayaran gaji pa­sukan Melaka United FC (MUFC) yang dilaporkan tertunggak tiga bulan akan diselesaikan dalam Mesyuarat Kongres Persatuan Bola Sepak Melaka (Musa) pada Ahad ini.

Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Musa, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika ditanya mengenai isu tersebut hanya menjawab ringkas dengan memaklumkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat kongres.

“Tunggulah mesyuarat, keputusan dalam kongres. Saya belum duduk dalam (mesyuarat) kongres lagi, kalau sudah dalam mesyuarat barulah saya tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya Kali Pertama di Kompleks Japerun Bemban, Jasin semalam.

Sulaiman bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau yakin masalah kewangan itu dapat di­selesaikan sebelum tarikh notis tuntutan pembayaran daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), iaitu selewat-lewatnya pada 19 Januari ini.

“Tunggulah nanti (mesyuarat kongres), tanya sekarang saya tidak boleh nak jawab,” katanya.

PFAM pada 11 Januari lalu mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan, tunggakan gaji melibatkan pemain skuad utama Melaka United adalah sebanyak tiga bulan, manakala tunggakan bagi skuad Piala Presiden membabitkan dua bulan setengah.

PFAM turut menghantar notis tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menegur Melaka United berhubung isu tunggakan gaji yang membe­lenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga menegaskan, isu gaji bukan sahaja menyukarkan pemain dan pegawai pasukan untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah tidak bagus untuk imej skuad Hang Tuah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI