fbpx
PENGUSAHA restoran mamak mendakwa hanya mampu meraih keuntungan yang sedikit selepas terpaksa menanggung kenaikan mendadak harga bahan mentah sejak kebelakangan ini.

‘Nasi kandar, roti canai naik harga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran mamak yang bero­pe­rasi di Lembah Klang terpaksa menaik­kan harga makanan dan minuman pada kadar 20 sen hingga 50 sen sejak awal bulan ini bagi menampung kos bahan mentah yang naik mendadak.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan restoran-restoran ber­kenaan masih boleh meneruskan operasi seperti biasa, sekali pun purata keuntungan yang diraih mereka sangat kecil jika diban­dingkan sebelum ini.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Lembah Klang mendapati, beberapa pengusaha restoran mamak sudah mengenakan kenaikan harga pada makanan dan minuman iaitu pada kadar minimum bermula 20 sen.

Antara makanan lain yang me­ngalami kenaikan adalah roti canai yang naik kepada RM1.30 sekeping, manakala purata harga nasi kandar adalah sekitar RM7.50, berbanding RM7 sebelum ini.

Turut mengalami kenaikan adalah capati, nasi lemak, sotong, teh tarik dan minuman.

Gambar hiasan

Seorang pengusaha restoran mamak di Cheras, Syed Nazrin Syed Bukhari berkata, kenaikan harga itu berpunca daripada pe­ningkatan mendadak harga yang dibuat oleh pengeluar bukan sahaja kepada bahan mentah, tetapi juga barang asas seperti bekas makanan dan sebagainya.

“Sebagai contoh, mi segera sebelum ini satu kotak berharga RM38 dan sekarang ini sudah mencecah RM46.90, manakala ikan bilis pula dua minggu lepas harga RM12.50 untuk 500 gram dan hari ini harga sudah menjadi RM14.50.

“Perkara ini turut berlaku pada barang keperluan seperti bekas makanan, air serta kerusi dan meja yang sudah naik lebih 50 peratus,” katanya.

Syed Nazrin turut menjelaskan, kenaikan harga makanan dan minuman perlu dilaksanakan kerana keuntungan kasar yang diterima kebanyakan pe­ngusaha adalah ‘cukup-cukup makan’ sehingga menghimpit perniagaan mereka.

“Setakat ini, saya hanya dapat 10 peratus sahaja daripada keuntungan kasar dengan jumlah sebanyak RM3,000 sebulan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana norma untuk industri makanan adalah 30 peratus kos dan 70 peratus lagi adalah keuntungan kasar di mana pengusaha sepatutnya boleh mendapat 40 peratus untung bersih,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, sebagai pengusaha restoran mamak, mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan semua jenis golongan masyarakat terus mempunyai keupayaan untuk membeli makanan dan minuman de­ngan harga yang berpatutan.

“Kalau boleh kami tidak mahu naikkan harga dan mengapa kami perlu naikkan harga? Kami minta campur tangan kerajaan untuk memantau harga yang dibuat oleh pengeluar bagi me­ngurangkan kesan kepada pengguna akhir,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja di sebuah restoran mamak dikenali Rahmat, 35, memberitahu, premisnya terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman, selepas dihimpit tekanan ekoran kenaikan harga barang yang lain.

“Dalam keadaan tertekan, kami perlu memikirkan kebajikan pekerja dan juga aspek perniagaan.

“Selain itu, perkhidmatan dalam talian juga secara tidak langsung telah menekan operasi sehingga membuatkan kedai tidak dapat menjana keuntungan seperti dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pe­langgan tetap di sebuah restoran mamak di sini, Wan Hassan Wan Yusof, 66 berkata, isu harga makanan di kedai mamak pastinya memberi kesan sedikit sebanyak kepadanya.

“Setiap pagi saya ke sini untuk sarapan dan kenaikan harga ini tidak terasa sangat kerana hanya sekitar 20 sen. Namun, apabila barang sudah turun harga, harap makanan di sini juga turun.

“Bagi saya, kenaikan harga ini adalah berpatutan dan sesuatu yang sudah dijangka kerana bahan mentah pun sudah naik sejak tahun lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN