KISAH seram kehidupan di asrama sekolah pasti tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila oleh mereka yang mengalaminya.
Itu yang berlaku kepada seorang lelaki kira-kira 10 tahun lalu ketika tinggal di asrama sekolah untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Dia yang kini bertugas sebagai seorang jurutera masih teringat kisah menakutkan itu. Ceritanya, satu hari ketika tidur, dia dikejutkan oleh seorang rakan untuk menemaninya ke tandas pada pukul 3 pagi.
Ketika masih dalam keadaan mamai, dia mengikut sahaja rakannya dari belakang dan menunggunya dalam tandas.Tidak lama kemudiam, baru dia sedar bahawa rakan yang mengejutkannya itu sudah tiga hari balik kampung kerana datuknya meninggal dunia.
————————————————————————————————————————————————
KEHIDUPAN di asrama tidak lekang dengan kisah-kisah seram dan misteri sehingga ada yang melabelnya sebagai tempat berpuaka ekoran pelbagai cerita dikongsikan berkaitan pelbagai kejadian aneh.
Ia turut dialami oleh Amir (bukan nama sebenar) kira-kira 10 tahun lalu ketika tinggal di asrama sekolahnya yang mana ketika itu, dia sibuk mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun dia banyak mendengar cerita menakutkan di asrama berkenaan daripada pelajar di situ, tetapi sebagai anak jantan, dia berasakan kisah seperti itu tidak perlu dilayan.
Sebaliknya kata Amir, dia perlu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal didudukinya.
Sehinggalah pagi suatu pagi, dia sendiri mengalami peristiwa misteri lagi menakutkan yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
Katanya, sekitar pukul 3 pagi, dia dikejutkan seorang kawan, Ali (bukan nama sebenar) untuk menemaninya ke tandas di tingkat bawah.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus bangkit dari katil menurutinya dari belakang.
“Saya menunggunya dalam keadaan mengantuk dan separa tidur sehinggalah tiba-tiba tersedar.
“Saya baru teringat, Ali sudah dua hari pulang ke kampung kerana datuknya baru meninggal dunia,” cerita pemuda berusia 27 tahun itu.
Ketika itu, Amir tidak mampu menahan ketakutannya kerana memikirkan siapakah gerangan yang ada di dalam tandas tersebut sehingga jantungnya berdegup kencang dan kaki bagaikan terkunci untuk melangkah.

Dia cuba mengawal ketakutan sehabis boleh dan membaca beberapa ayat suci bagi mencari kekuatan agar tidak jatuh pengsan di situ.
Tiba-tiba kedengaran suara nyaring mengilai di dalam tandas membuatkan Amir membuka langkah seribu dan berlari pantas masuk ke biliknya.
Tetapi tiada seorangpun rakan sebiliknya menyedari kejadian itu kerana masing-masing nyenyak tidur.
Tidak lama selepas kejadian itu, ada seorang pelajar tidak sedarkan diri kerana histeria selepas menegur seorang nenek tua berjalan di tepi koridor asrama pukul 10 malam.
Kejadian misteri terus berlaku sehingga pihak pengurusan asrama terpaksa memanggil seorang ustaz untuk membantu apa yang patut kerana kejadian-kejadian yang berlaku itu mengganggu emosi pelajar.
“Sebenarnya beberapa tahun sebelum itu, asrama tersebut pernah diganggu kejadian misteri, tetapi ia kembali aman selepas dibantu oleh seorang ustaz yang telah ‘memagari’ tempat itu daripada gangguan makhluk halus.
“Ada yang memberitahu, kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh seorang pelajar yang melakukan pemujaan ekoran mempelajari ilmu sihir daripada ahli keluarganya,” jelas Amir yang kini bekerja sebagai jurutera.
Selepas dibantu oleh ustaz tersebut, asrama itu kembali tenang dan pelajar dapat memberi perhatian kepada mengulang kaji pelajaran.
————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.















