MENURUT Musa, ketika bertugas sebagai KPN dahulu, beliau memberikan nombor telefon kepada orang awam supaya mereka boleh memaklumkan salah laku atau rasuah jika ada untuk tindakan seterusnya diambil. –FAUZI BAHARUDIN

Jangan pandai menuduh jika tak ada saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pendedahan oleh akaun Twitter Edisi Siasat berhubung kepincangan pegawai-pegawai atasan kerajaan seperti PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pasti mencalarkan imej kedua-dua pasukan beruniform itu.

Dalam hal ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berpandangan, jika seseorang ada maklumat berhubung salah guna kuasa pihak polis, mereka perlu bekerjasama dengan polis mahupun SPRM bagi membolehkan agensi-agensi ini mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat.

Bagi beliau, jika dikeluarkan begitu sahaja, itu cumalah tohmahan dan tidak guna jika dedahkan, tetapi tiada saksi kerana tiada tindakan yang boleh diambil.
————————————————————————————————————————————————-
MERUPAKAN antara individu yang disegani di negara ini, nama Tan Sri Musa Hassan sentiasa diingati oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan warga Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang pernah bekerja di bawah pimpinannya.

Sepanjang lebih 41 tahun berkhidmat dalam badan itu, beliau sentiasa dilihat sebagai seorang pemimpin yang berintegriti dan mempunyai komitmen tinggi ekoran pengalaman luasnya yang mampu membawa perubahan serta pembaharuan dalam pasukan polis.

Disebabkan itu jugalah, selepas bersara 11 tahun lalu, dirinya masih lagi menjadi ‘buruan’ banyak pihak bagi mengulas isu-isu semasa terutamanya melibatkan PDRM.

Bagi mengulas lanjut beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan, wartawan Kosmo! Ahad, Khairiyah Hanafi menemu bual bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Selepas bersara, Tan Sri dilihat aktif ‘bersuara’ di media sosial seperti Twitter. Banyak ciapan Tan Sri mendapat perhatian pelbagai pihak. Adakah itu merupakan medium untuk Tan Sri mengekspresi pendapat dan sudah pasti ada tak berpuas hati. Pernah tak ada cubaan pihak tertentu yang minta berhenti menulis tentang isu-isu tertentu?

Musa: Ada individu yang menyuruh supaya saya berhenti dan jangan membuat posting di Twitter, sedangkan saya juga rakyat Malaysia dan mempunyai hak untuk bersuara.

Saya hanya beritahu fakta supaya orang ramai faham tentang masalah yang dihadapi, faham tentang undang-undang dan tidak membuat kritikan sekadar untuk mengkritik semata-mata.

Tidak salah untuk mengkritik, tetapi ia perlulah dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang.

Jika kritik menggunakan bahasa kesat dan kotor, itu bukanlah kritik, sebaliknya menunjukkan kebodohan diri sendiri.

Pandangan Tan Sri mengenai kewujudan Twitter akaun Edisi Siasat yang mendedahkan mengenai kepincangan pegawai-pegawai atasan kerajaan seperti PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah pasti mencalarkan imej kedua-dua pasukan tersebut. Bagaimana Tan Sri melihat tindakan tersebut, adakah wajar mendedahkan maklumat sulit secara terbuka?

Pertama sekali, jika mereka mempunyai maklumat berkaitan salah guna kuasa pihak polis, mereka perlu bekerjasama dengan polis mahupun SPRM bagi membolehkan agensi-agensi ini mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat.

Jika dikeluarkan begitu sahaja, itu cumalah tohmahan.

Jika ada, kumpulkan saksi dan rujuklah PDRM mahupun SPRM untuk melakukan siasatan. Dengan adanya saksi, pegawai tersebut akan dituduh di mahkamah.

Tidak guna jika dedahkan, tetapi tiada saksi kerana tiada tindakan yang boleh diambil. Jadi, tidak percayakan pihak tertentu, kumpulkan saksi untuk disiasat SPRM.

Dahulu, ketika saya menjadi Ketua Polis Negara (KPN), saya mengarahkan bahagian tatatertib menyiasat sendiri sebarang aduan yang diberikan.

Malahan nombor telefon saya juga diberikan kepada orang awam supaya mereka boleh memaklumkan salah laku atau rasuah jika ada untuk tindakan seterusnya diambil.

Ada yang dituduh di mahkamah dan sekiranya bukti kukuh, tindakan buang kerja akan diambil. Kita tidak boleh buat diam untuk setiap aduan yang diterima dan ia perlu disiasat.

Jika tidak betul maklumat yang diberikan dan dibuat atas tujuan untuk menganiaya, maka itu dikira sebagai memberikan maklumat palsu.

Mereka yang berikan maklumat tersebut boleh diambil tindakan untuk dituduh di mahkamah. Kita perlu adil kepada semua.

SETIAP anggota polis perlu lebih berintegriti dalam menjalankan tugas bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap mereka. – GAMBAR HIASAN

Sebelum bersara, Tan Sri ada membuat kenyataan terbuka bahawa wujud campur tangan pihak tertentu semasa Tan Sri bergelar KPN. Perkara sama didedahkan bekas KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa ada campur tangan pihak tertentu semasa beliau menjawat tersebut. Ini menunjukkan seolah olah tindakan KPN ‘diatur’. Pandangan Tan Sri mengenai perkara ini?

Kita hanya patuh kepada polisi yang dikeluarkan oleh menteri. Ia perlu diikuti, tetapi jika ia tidak betul dan menyusahkan rakyat, maka kita perlu beritahu dan perbetulkan polisi.

Ini supaya ia tidak menyusahkan rakyat dan orang yang mahu buat kerja. Itu apa yang saya lakukan dahulu.

Bagi saya, tiada keperluan untuk patuh pada campur tangan daripada orang luar mahupun orang-orang politik dan ketika saya menjadi KPN dahulu, saya tidak ikut. Sebaliknya saya patuh kepada peraturan dan undang-undang sahaja.

Ada penjenayah yang berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO). Mereka menghalalkan perbuatan jenayah lasing dengan melakukan kerja-kerja amal dan membina rangkaian dengan orang kenamaan dan pegawai atasan pasukan keselamatan. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini?

Bagi saya, untuk setiap jenayah yang dilakukan, pihak polis perlu mengenal pasti siapakah individu terlibat bukan sahaja di peringkat bawahan, sebaliknya ketua kumpulan itu sendiri.

Mereka perlu tahu adakah individu yang menjadi dalang itu rapat dengan orang-orang politik atau tidak.

Siasat latar belakang mereka memandangkan ada dalam kalangan individu yang terlibat dalam aktiviti ini sendiri bergelar Datuk dan Datuk Seri.

Justeru, pihak polis perlu mempunyai rekod. Jika tindakan mereka mendatangkan masalah kepada rakyat atas jenayah yang dilakukan atau membahayakan rakyat atas kegiatan tersebut, kesemua mereka perlu ditangkap.

Baru-baru ini, sebuah kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik NGO mengadakan majlis merekrut ahli baharu di sebuah hotel mengejutkan banyak pihak. Pada pandangan Tan Sri sebagai bekas KPN, sejauh mana seriusnya jenayah kongsi gelap di negara ini?

Kongsi gelap pada mulanya dibawa oleh orang-orang asing yang datang di negara ini pada kurun ke-18 kerana ketiadaan pasukan polis waktu itu.

Kewujudan kumpulan ini bertujuan untuk menjaga komuniti dan mereka mendapat dana daripada aktiviti itu.

Bagaimanapun bukan sekadar menjaga komuniti, lama kelamaan mereka terlibat dengan jenayah bermula dengan memeras ugut, kumpulan ini mula terlibat dengan kegiatan haram seperti judi, pelacuran dan macam-macam lagi.

Bukan sahaja kaum Cina, tetapi turut melibatkan kaum India dan Melayu.
Sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh membahayakan nyawa orang awam, maka tindakan tegas perlu diambil.

Selain melibatkan individu dewasa, ada dalam kalangan remaja yang terlibat dengan aktiviti ini. Adakah remaja terbabit datang daripada mereka yang mempunyai masalah keluarga atau terlibat disebabkan pengaruh rakan sebaya dan apa langkah-langkah diambil bagi membantu mereka keluar dari aktiviti jenayah tersebut?

Mereka memang akan merekrut pelajar sekolah untuk terlibat dalam kumpulan ini.

Ketika saya menjadi salah seorang wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sebuah sekolah suatu ketika dahulu, memang ada gengster yang mengugut dan memeras wang jika pelajar-pelajar tersebut tidak masuk dalam kumpulan mereka.

Bagaimanapun pada waktu itu sebaik situasi tersebut berjaya dikenalpasti dan tindakan diambil, maka berkuranglah perkara tersebut.

Selalunya pelajar yang terlibat adalah dalam kalangan mereka yang drop-out dan gagal dalam pelajaran.
Apabila tidak lagi bersekolah, mereka kemudian cenderung untuk menyertai kumpulan-kumpulan ini.

Apa yang saya lihat, perkara ini berlaku kerana tiadanya pemantauan terhadap anak-anak. Justeru, pentingnya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka.

Sesetengah anggota masyarakat masih skeptikal dengan jabatan polis disebabkan sebilangan kecil anggotanya mengambil rasuah sama ada secara ‘kecil-kecilan’ atau pun pada skala besar, contohnya melindungi tauke judi, ah long dan sebagainya. Adakah perkara sebegini masih membarah dalam jabatan itu atau semakin berkurangan. Apakah langkah-langkah yang diambil pihak terbabit bagi mengatasi anggota polis terlibat dalam kancah rasuah, terutamanya ketika Tan Sri menerajui PDRM sebelum ini?

Pasukan polis merupakan pasukan yang besar dan ramai yang datang daripada masyarakat.
Sesiapa sahaja yang memasuki pasukan tersebut akan diperiksa latar belakangnya dan memastikan tidak terlibat dalam rekod jenayah.

Kita akan membentuk mereka supaya tidak terlibat dengan rasuah dan mengajar mereka undang-undang antirasuah supaya tidak salah guna kuasa seterusnya terlibat dalam rasuah.

Bagaimanapun, perlu ada pemantauan kerana kita manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan kadangkala terpengaruh dengan rakan-rakan yang berkemungkinan terlibat sama dalam kancah tersebut.

Tambahan pula, kebiasaannya mereka yang tidak terlibat akan dipulaukan dan jika isu ini turut melibatkan pihak atasan, maka individu tersebut sukar untuk dinaikkan pangkat.

Inilah yang saya cuba perbetulkan dahulu dan ketika dilantik KPN, saya meminta pegawai untuk memakai tag logo antirasuah bagi mengelakkan mereka meminta rasuah.

Bahagian agama dan kaunseling juga diwujudkan bagi memperbetulkan sikap-sikap anggota yang bermasalah bagi memberi peluang mereka memperbetulkan diri sebelum tindakan diambil. Jika masih berdegil, barulah tindakan buang kerja diambil.

Saya lihat persepsi masyarakat di negara ini terhadap polis terlalu negatif kerana sikap anggota itu sendiri.

Justeru, mereka perlu betul-betul menjalankan amanah yang diberikan.

Pemantauan dari orang atasan juga perlu dilakukan.

Disebabkan itu, ketika saya menjadi KPN dahulu, saya berikan nombor telefon kepada orang awam bagi memudahkan mereka membuat aduan. Dari situlah pemeriksaan dijalankan dan jika benar, tindakan akan diambil.

Pegawai atasan perlu selalu turun padang dan memeriksa serta melihat sendiri anggota menjalankan tugas.

Saya juga sering menjalankan kursus pendek untuk memantapkan lagi pengetahuan anggota seterusnya dapat memperbetulkan organisasi.

UJAR Musa, persepsi masyarakat di negara ini terhadap polis terlalu negatif kerana sikap anggota itu sendiri.

Ekoran kes buli dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meningkat pada masa ini, ada pihak menyarankan agar tugas warden asrama diberikan kepada bekas polis dan tentera bagi mendisiplinkan remaja yang agak nakal. Apa pandangan Tan Sri dalam hal ini?

Dahulu buli tidak pernah berlaku dan yang ada hanyalah ragging dan biasa dilakukan di sekolah-sekolah berasrama dan dalam kalangan pasukan polis sendiri.

Begitupun, ia bukanlah dilakukan untuk mendatangkan kecederaan terhadap individu, sebaliknya bagi tujuan disiplin dan kerjasama antara rakan sepasukan.

Bagi saya, buli memang tidak sepatutnya wujud.

Untuk menjadi seorang warden, mereka perlu latihan dan bukan sahaja berkisarkan keselamatan, bahkan perlu tahu ilmu psikologi serta kaunseling anak-anak bagi membolehkan mereka mengenalpasti masalah, seterusnya memberi nasihat kepada pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN