fbpx
Dadah bernilai RM33,260 yang ditinggalkan di dalam kawasan hutan di Kampung Perah Slow Machang, Pasir Mas semalam.- Foto IHSAN POLIS

Polis buru lelaki tinggal dadah RM33,260 dalam hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 45 tahun bagi membantu siasatan kes melibatkan rampasan dadah jenis heroin, pil kuda dan syabu bernilai RM33,260 yang ditinggalkan di kawasan hutan berhampiran Kampung Perah Slow Machang di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.45 petang itu, polis telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 87.5 gram, 324 biji pil kuda dan 1 gram syabu di dalam sebuah beg silang yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sepasukan anggota polis melihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan tepi hutan berhadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

Menurutnya, anggota yang bertugas telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati kereta tersebut berada dalam keadaan berkunci.

“Bagaimanapun, polis terdengar bunyi pergerakan dari dalam kawasan hutan yang terletak di hadapan rumah tersebut.

“Polis terus membuat pemeriksaan di dalam kawasan hutan tersebut yang terletak kira-kira 20 hingga 30 meter daripada kereta itu sebelum menemui sebuah beg silang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, pemeriksaan di dalam beg silang itu telah menemui kesemua dadah bernilai RM33,260, kad pengenalan suspek, dua keping kad, gugusan kunci kereta, wang tunai RM87 dan dua buah telefon.

Ujarnya, berpandukan kepada kad pengenalan itu, polis terus membuat serbuan ke alamat tersebut, namun suspek didapati tiada di situ.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau dan kali terakhir ditangkap pada Mei tahun lalu.

Tambah Mohd. Nasaruddin, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) akta sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN