SHAH ALAM – Ketika ramai sukarelawan serta agensi kerajaan sedang sibuk membantu mangsa banjir, terdapat pula individu atau kumpulan yang mengambil kesempatan mencuri harta benda penduduk yang terjejas akibat bencana itu.
Antara barangan yang menjadi sasaran penjenayah seperti rim dan tayar kenderaan, peralatan elektrik serta kasut-kasut berjenama, malah kereta yang tersadai turut dalam ‘radar’ pencuri.
Seorang mangsa banjir di Seksyen 24 di sini yang ingin dikenali sebagai Shahrul, 42, berkata, ketika pasca banjir, ramai sukarelawan ‘berkampung’ di kawasan mereka bagi membantu membersihkan rumah serta menghulurkan bantuan.
“Ramai sukarelawan datang membantu dan kami amat bersyukur dengan bantuan mereka.
“Bagaimanapun, dalam kesibukan ramai orang membantu membersihkan rumah dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, terdapat pula individu atau kumpulan tertentu yang melarikan barangan berharga milik penduduk.
“Kami sebagai penduduk memang tidak perasan yang mana satu pencuri kerana ramai orang yang keluar masuk ke kawasan yang terjejas banjir ketika ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Shahrul memberitahu, terdapat rumah mangsa banjir yang masih belum dibersihkan kerana penghuninya mungkin berada di kampung atau menunaikan umrah dan barang-barang berharga yang ditinggalkan di halaman rumah mereka telah dicuri.
“Memang saya ada dengar kes kecurian ini telah berlaku, saya risau jika ada selepas ini rumah-rumah penduduk yang ditinggalkan pula dipecahkan oleh pencuri.
“Kami harap janganlah tambahkan kesengsaraan yang sudah dialami mangsa banjir,” ujarnya.

Bagi seorang lagi mangsa banjir di Hulu Langat, Mohd. Hadri Johari, 38, berkata, kereta-kereta mangsa banjir yang tersadai juga menjadi sasaran pencuri.
Kata kakitangan awam itu, rata-rata mangsa ketika ini tidak mempedulikan lagi kenderaan mereka kerana memberi tumpuan untuk membersihkan kediaman.
“Kereta-kereta yang tersadai ini dikhautiri akan ditunda oleh pencuri ketika orang ramai datang membantu menarik kenderaan ke bengkel untuk dibaiki.
“Saya sudah dengar kejadian ini berlaku, ada kenderaan tunda datang memaklumkan kononnya mereka daripada syarikat insurans, namun bernasib baik kerana ada penduduk yang peka ketika itu.
“Kenderaan tunda itu ditahan penduduk kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan. Saya harap kita semua sama-sama membantu,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kecurian harta benda dan kenderaan di kawasan kediaman mereka.
Pesara swasta, Roslen Abd. Razak, 60, berkata, penduduk Pangsapuri Kos Rendah Taman Sri Muda terpaksa bersengkang mata bagi mengawasi kawasan masing-masing.
“Semalam, berlaku cubaan melarikan sebuah kereta Honda Civic oleh individu yang tidak dikenali, namun kejadian itu sempat disedari penduduk dan menggagalkan cubaan itu,” ujarnya.
Pekerja kilang, Shahrain Ajis, 35, pula memberitahu, dia turut bergilir-gilir dengan rakan serumah untuk menjaga kediaman mereka berikutan terdapat kes kecurian di situ.
“Kami bimbang ada pihak mengambil kesempatan untuk mencuri ketika penduduk sibuk membersihkan rumah.
“Justeru, kami akan berkawal di kawasan rumah bagi memerhatikan keadaan sekeliling dan individu mencurigakan yang berniat jahat,” katanya.














