SHAH ALAM – Penduduk di kawasan terjejas banjir di Selangor terutama di Shah Alam kini mula gelisah dan tidak lena tidur setiap kali hujan kerana mereka bimbang berlaku gelombang kedua banjir yang lebih buruk.
Hujan selama beberapa jam sejak awal pagi semalam di Selangor bukan sahaja menyebabkan beberapa laluan jalan raya ditenggelami air, malah ada penempatan yang telah dilanda banjir sebelum ini turut dinaiki air sekali lagi.
Penempatan di Saujana Aman, Sungai Buloh antara yang dinaiki air buat kali kedua apabila sungai berdekatan kediaman mereka melimpah selepas hujan selama beberapa jam.
Seorang penduduk di Pangsapuri Jaya, Taman TTDI Jaya, Eddy Jamal, 40, berkata, penduduk sudah mula risau memikirkan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir yang lebih buruk ekoran cuaca yang masih tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, dia sendiri mengakui amat bimbang sekiranya berlaku lagi banjir di kawasannya kerana mereka baru sahaja membersihkan rumah serta perkakasan lain.
“Dalam kejadian pada Ahad lalu, saya bersama isteri dan bayi perempuan berusia tujuh bulan jadi kelam-kabut apabila rumah kami dinaiki air setinggi lebih dua meter.
“Sekarang air sudah surut, tetapi keadaan cuaca dilihat masih tidak menentu dan saya amat risau jika banjir kali kedua berlaku dalam tempoh singkat,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Eddy yang juga tukang gunting rambut kini sudah bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mencari rumah tumpangan untuk berteduh.
Seorang lagi penduduk Taman TTDI Jaya, Azman Mansor, 42, berkata, dia kini hanya mampu berdoa supaya tidak berlaku gelombang kedua banjir yang lebih teruk.
“Kami sekeluarga sentiasa mengikuti perkembangan terkini menerusi media sosial terutama ramalan cuaca.
“Saya cuma berharap hujan tidak lebat dan berterusan sehingga menyebabkan banjir luar jangka,” kata penjawat awam itu.
Bagi penduduk Kampung Padang Jawa, Anuar Mat Som, 50, pula berkata, semua perabot dan barang elektrik rumahnya musnah dalam kejadian banjir buruk pada Ahad lalu selepas hujan lebat berterusan selama dua hari.
“Jika berlaku gelombang kedua, peralatan elektrik tidak lagi menjadi isu kerana sudah rosak dan terpaksa dibuang.
“Keperluan utama kini adalah menyelamatkan nyawa serta dokumen penting yang masih selamat dalam kejadian banjir baru-baru ini,” ujarnya.

Seorang penduduk di kawasan Batu 3, Mohd. Najib Asri, 40, pula memberitahu, hujan sejak awal pagi semalam membuatkan penduduk Selangor kembali bimbang mengenai kenaikan paras air di kediaman masing-masing.
Katanya, dia melihat paras air di Sungai Damansara yang terletak berhampiran penempatan penduduk telah naik semula pagi semalam.
Ujarnya, tinjauan di kawasan berhampiran pasar raya Giant di Seksyen 13 di sini juga mendapati, beberapa jalan raya sudah dinaiki air dan kenderaan terpaksa menggunakan laluan bertentangan bagi mencari jalan keluar.
“Giant banjir lagi, jadi jalan tutup. Laluan di Acapella juga jadi laluan dua hala apabila pemandu terpaksa mengubah haluan bagi mengelak mereka terkandas,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Twitter rasmi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam mengeluarkan makluman segera memohon orang ramai bagi mengelak daripada melalui kawasan laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 berhampiran pasar raya Hero di sini ekoran kenaikan paras air.
“Mohon orang ramai untuk mengelakkan melalui kawasan tersebut dan berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, di laman media sosial dan kumpulan WhatsApp pula dibanjiri dengan rakaman video serta gambar-gambar laluan yang telah dinaiki air.
Antaranya di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Jelutong di sini serta Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di laluan masuk ke Plaza Tol Shah Alam.
Bagaimanapun, kesemua laluan tersebut sudah boleh dilalui semalam selepas air surut.














