fbpx

Cabar diri bantu selesai masalah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKAS inspektor di salah sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas ternama negara ini optimis mengembangkan syarikat yang dibangunkan dengan melantik lebih ramai staf selain stokis pada masa akan datang.

PANDEMIK maut Covid-19 yang membadai seluruh dunia termasuk Malaysia cukup meninggalkan impak yang begitu mendalam bagi semua.

Tidak dinafikan ramai yang dibuang kerja, hilang punca pendapatan dan terpaksa bangkit melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup mendatang. 

Begitu juga yang dilalui dan terpaksa ditelan lelaki kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang ini selepas dia diberhentikan kerja sewaktu negara sedang bergelut dengan pandemik bermula awal tahun lalu.

Cerita pemilik nama sebenar Mohd. Khairi Mahmood, 38, setelah dibuang kerja dan beberapa bulan terperap di rumah, dia dan dua rakan yang senasib dengannya bercadang dan tekad untuk menjalankan sebuah perniagaan.

“Sewaktu saya di rumah, saya ada ternampak isteri yang serba kelam kabut dengan barangan peribadi di tangan. 

“Jadi dari situ saya mula terfikir dan sepakat dengan dua lagi rakan yang merupakan pengasas bersama untuk membuka perniagaan dan mengeluarkan sebuah produk berkaitan wanita.

“Mudah kata kami mahu membantu menyelesaikan masalah wanita dengan menghasilkan satu produk yang dapat menjimatkan masa golongan tersebut untuk menanggalkan kesan solekan setelah seharian melekat pada wajah,” katanya kepada iGen.

MOHD. KHAIRI tekad untuk menjalankan perniagaan berasaskan wanita, sekali gus membantu menyelesaikan masalah golongan itu menerusi produk keluarannya.

Tambah Mohd. Khairi yang merupakan bekas inspektor di sebuah kilang pemprosesan syarikat minyak dan gas ternama negara selama tujuh tahun itu, dia dan rakan pengasas tekad untuk mencabar diri mengeluarkan produk yang boleh dikatakan asing bagi kaum lelaki seperti mereka.

Katanya, entah kenapa hatinya dan dua rakan lain iaitu Mohd. Ruzaihan Johan dan Mohd. Farid Rosdi sepakat untuk sama-sama mencipta produk berasaskan wanita walaupun tahu pasti ada saingan sengit yang perlu ditempuhi.

“Boleh dikatakan produk di bawah label Byumi adalah 100 peratus idea kami bertiga. Sasarannya juga adalah kepada wanita dan remaja perempuan yang mementingkan kecantikan dan dan penjagaan kulit wajah.

“Pun begitu, Byumi juga boleh digunakan oleh lelaki  kerana setiap bahan yang terkandung di dalam formulasi produk ini sesuai digunakan sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mahupun peringkat umur.

“Keistimewaan dan kelainan produk yang kami hasilkan membantu menjadikan rutin harian seseorang lebih mudah kerana kepelbagaian dan manfaat seperti pelembab dan pembersih yang dirumus dalam satu produk penjagaan kulit,” katanya.

DUTA Byumi, Bajilah (tengah) yang merupakan pempengaruh media sosial dilantik syarikat sekali gus bertindak sebagai jurucakap bagi perniagaan yang diusahakan.

Ditebak mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang lebih setahun mengasaskan perniagaan, Mohd. Khairi memberitahu, setiap apa juga perusahaan pasti tidak terlepas daripada sebarang ujian mahupun dugaan mendatang.

Akuinya, sewaktu awal-awal terlibat dalam perniagaan terdahulu iaitu sebagai kontraktor rekaan dalaman, dia pernah dikhianati sahabat baik sendiri.

“Sebelum hadir dan mengasaskan Byumi, saya sendiri lakukan pelbagai kerja dan salah satunya perniagaan berasaskan rekaan dalaman

“Tidak sangka saya dikhianati dan ditipu selain menjadi mangsa sahabat baik yang saya percaya serta sanjung selama ini hingga menyebabkan kerugian. 

“Perkara dan ujian berat itu jugalah membuatkan saya kembali bangkit untuk meneruskan perniagaan baharu ini sampailah betul-betul berjaya dan dikenali kelak,” ujarnya yang juga pengurus bagi syarikat KJF Resources.

Menutup bicara, Mohd. Khairi berkata, walaupun perniagaan yang dilahirkan hadir sewaktu pandemik dan membuatkan ramai takut untuk mencuba, namun sebaliknya dia dan rakan-rakan melihat ia sebagai satu peluang yang perlu terus diteroka. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI