KUALA TERENGGANU – Seorang bakal haji Wan Mohamad Wan Deraman, 76, melahirkan kebimbangan hasratnya untuk menunaikan rukun Islam kelima bakal tertunda lagi buat tahun ketiga.
Menurutnya, hajatnya ke Tanah Suci mungkin ‘lebur’ sekiranya berlaku kenaikan kos ekoran peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) oleh kerajaan Arab Saudi.
“Saya bekerja sebagai tukang rumah sahaja. Berpuluh-puluh tahun menyimpan duit sedikit demi sedikit di Tabung Haji bagi mencukupkan perbelanjaan ke Tanah Suci.
“Jujur saya kata, sukar untuk mengumpul wang lagi kerana faktor usia. Lagi pun keadaan ekonomi sekarang pun kurang baik ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Wan Mohamad yang menetap di Kampung Kubang Bemban, Besut berkata, dia sebenarnya sudah menerima panggilan untuk mengerjakan haji pada tahun lalu, namun tertangguh akibat Covid-19.
“Saya sentiasa berdoa agar panjang umur supaya dapat juga ke Tanah Suci pada tahun hadapan bagi mengerjakan ibadah haji yang telah tertunda itu.
“Hati saya kembali risau apabila terdengar desas-desus kos haji bakal naik mulai tahun depan,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal memberitahu dia terpaksa meminta bantuan anak-anak sekiranya kos menunaikan haji dinaikkan kerajaan.
“Saya tidak mampu mencari wang kerana tidak bekerja dan hanya mengharap pemberian anak-anak,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Menurut Kamariah, jika kos haji dinaikkan, ia akan menyukarkan golongan yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal dan warga emas untuk menambah wang sedia ada.
“Mungkin ada cara untuk kerajaan menambah subsidi jemaah haji.
“Jika perlu menambah simpanan TH, pasti ramai bakal haji akan menangguhkan dahulu pemergian mereka ke tanah suci meskipuh nama sudah dipanggil,” luahnya. -K! ONLINE














