BERA – Penggunaan minyak pengasih yang mempunyai unsur sihir dan pemujaan adalah haram selain dilarang dalam agama Islam kerana menjurus syirik kepada Allah SWT.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, kepercayaan kepada kekuatan minyak tertentu yang boleh melakukan sesuatu boleh menjurus kepada perbuatan syirik.
“Minyak kalau setakat untuk sapu tidak apa tetapi jangan kaitkan kepercayaan, percaya boleh buat itu dan ini kerana boleh menyebabkan syirik.
“Tak kanlah minyak boleh buat sesuatu minta itu dan ini, kalau berkaitan dengan sihir dan unsur pemujaan serta berbaik dengan jin dan syaitan tidak boleh kerana syaitan adalah musuh kita.
“Kalau kita baca ayat al-Quran dan berdoa bagi meminta pertolongan Allah SWT itu tidak apa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Abdul Rahman, keupayaan minyak untuk melakukan sesuatu termasuk mengubah perasaan seseorang dibimbangi mempunyai unsur sihir yang dilarang dalam Islam.
Ditanya sekiranya digunakan untuk kasih sayang suami isteri beliau berkata, apa sahaja yang mempunyai unsur pemujaan dan syirik perlu dielakkan.














