fbpx

Duit habis, kulit tidak ‘putih-putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Terpengaruh dengan promosi dan terikut de­ngan tindakan rakan-rakan menjadi punca sesetengah individu terutamanya wanita mengambil suntikan Vitamin C dan bahan pemutih tanpa kawalan sedangkan ia mengundang bahaya kepada­ sistem tubuh tanpa disedari.

Tawaran suntikan secara drip banyak disediakan oleh keba­nyakan pusat kecantikan dan spa kononnya ia mampu mencerahkan kulit seperti asid tranexamic glutathione yang didakwa diimport dari Korea, Jepun dan China.

Ia juga boleh dibeli secara mudah di pelbagai platform online termasuk Facebook dan Instagram.

Ada pengusaha yang sanggup menipu pelanggan dengan me­ngatakan kononnya produk tersebut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walhal ia tiada pengesahan mahupun jaminan keselamatan dan kesahihan keberkesanan mengenainya.

Prosedur suntikan biasanya dilakukan oleh jururawat dari pusat perubatan yang mengambil upah melakukan proses tersebut.

Difahamkan, ramai yang terjebak mengambil suntikan itu selepas terpengaruh dengan testimoni kononnya ia mampu mencerahkan kulit dan lembab hanya dengan sekali penggunaan selain mengurangkan masalah jerawat dan ekzema.

Seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai Mira, 35, ber­kata, dia berhabis RM450 untuk tiga kali suntikan setiap dua ­minggu tetapi malang apabila tona kulitnya tidak cerah seperti diharapkan.

“Saya buat rawatan muka dan drip Vitamin C dan pemutih dari Korea yang dilakukan di rumah seorang pengusaha pusat kecantikan di Kangar, Perlis tahun lalu. Rawatan itu dapat permintaan tinggi dan sentiasa penuh setiap kali ada promosi,” kata ibu kepada­ tiga anak itu.

Tambahnya, dia percaya kata-kata pengusaha itu selepas dimaklumkan bahan itu diimport dari Korea selain mendapat kelulusan KKM.

“Pengusaha kecantikan itu beritahu vitamin C tersebut diimport dari Korea dan lulus KKM. Sebab itu saya percaya lagipun ramai kawan yang buat,” katanya.

Bagi kakitangan kerajaan, Liyana Ahmad, 45, dia membayar RM650 untuk pakej yang sama dengan prosedur dikendalikan seorang jururawat di sebuah pusat kecantikan.

“Harga bergantung kepada jenis produk dan bahan pemutih. Kami ada pantang iaitu tidak boleh ambil makanan laut dan minuman berkafein bagi mengelak kesan sampi­ngan,” katanya.

Tambahnya, ada pengusaha menawarkan khidmat di rumah kerana orang sentiasa ramai di pusat kecantikan dan spa yang sering dikunjungi pelanggan tetap.

“Saya ambil suntikan bebe­rapa kali dalam tempoh setahun sebelum berhenti kerana kerap alami sakit kepala. Saya tak pasti ia kesan sampingan atau bukan kerana tidak mendapatkan nasihat doktor,” katanya.

Sementara itu, peniaga dalam talian yang mahu dikenali sebagai Aziera Jamil, 32, berkata, dia pernah mengambil suntikan drip vitamin C sebanyak lima kali di Ampang, Kuala Lumpur pada harga RM750 yang dilakukan oleh jururawat swasta.

“Saya tidak tahu ia dilarang dan boleh mengakibatkan pe­nyakit kronik. Saya berhenti suntik sebab tiada duit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN