SEAWAL pukul 4 pagi, Redzuan Muharam, 32, sudah terpacak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan berbekalkan beg sandang dan sebuah bagasi meskipun penerbangannya dijadualkan pukul 8 pagi.
Teruja untuk ke Wilayah Persekutuan Labuan buat kali pertama, Redzuan pada masa sama perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa terutamanya berkaitan sijil lengkap vaksin dan keputusan ujian saringan Covid-19.
Redzuan ialah salah seorang daripada 12 wakil media dari Kuala Lumpur yang menyertai Lawatan Media Geopark Labuan (LMGL) 2021 bersama Tourism Malaysia baru-baru ini. Geopark merujuk kepada satu kawasan yang mempunyai keunikan geologi, biologi dan budaya.
“Ini kali pertama saya ke Labuan. Saya sangat teruja dan tidak sabar lagi untuk menjelajah tempat-tempat menarik yang terdapat di pulau berkenaan.
“Memandangkan kita masih berdepan Covid-19, segala keperluan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa harus dipatuhi,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Program lawatan yang mendapat kerjasama Perbadanan Labuan, MASWings dan Malaysia Airlines itu berlangsung selama empat hari tiga malam dengan para peserta dibawa menjelajah Geopark Labuan meliputi kawasan geotapak atau tapak geologi dan geobudaya atau tapak budaya di Labuan.
Geopark Labuan memiliki keluasan keseluruhan 402 kilometer persegi meliputi kawasan daratan dan lautan.

Untuk makluman, Labuan merupakan sebuah pulau berkeluasan daratan sekitar 95km persegi dengan anggaran penduduk seramai 100,000 orang.
Kebanyakan penduduknya terdiri daripada etnik Melayu Brunei dan Kedayan yang menjadikan aktiviti perikanan sebagai sumber ekonomi utama.
Labuan juga telah diisytiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) pada tahun 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak tahun 1956.
Apabila tiba di Labuan, Redzuan yang berasal dari Johor Bahru berasa sungguh seronok dapat meluangkan masa menjelajah pulau kecil itu.
Antara tempat menarik di dalam kawasan Geopark Labuan yang dikunjungi termasuklah Pulau Rusukan Besar, Memorial War Park, Kampung Berbuloh Laut, Muzium Chimney dan Muzium Marin.
“Selepas menjelajah pulau ini, saya boleh katakan Labuan sangat sesuai kepada mereka yang sukakan alam semula jadi terutamanya pemandangan pantai.
“Pada masa sama, ia juga mempunyai banyak tempat bersejarah meliputi tinggalan zaman pemerintahan kolonial British dan Jepun,” rumusnya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Tourism Malaysia, Nor Hidayah Mohd. Nor berkata, ramai pelawat tidak menyedari bahawa pulau tersebut mempunyai geopark menarik termasuk 16 geotapak atau tapak geologi.
Jelasnya, geotapak ialah kawasan yang mengandungi khazanah bernilai warisan seperti tapak fosil, landskap berpemandangan indah, habitat flora dan fauna serta bentuk landskap berkait legenda atau mitos.
“Proses penilaian geotapak ini untuk menjadi calon geopark kebangsaan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sepatutnya berlangsung pada Jun lalu, namun disebabkan Covid-19 ditunda ke bulan depan.
“Jadi, kami mengambil kesempatan ini untuk membawa wakil media melawat tapak-tapak geologi untuk dipromosikan kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, antara geotapak yang terdapat di Labuan adalah Pulau Rusukan Besar, batuan menakung minyak Kampung Ganggarak, batu pasir belait dan pantai berbatu di Tanjung Kubong, tafoni Tanjung Batu serta bekas lombong Bukit Temiang.

Menurut Nor Hidayah, salah satu geotapak yang harus dilawati adalah Pulau Rusukan Besar yang boleh diakses menggunakan bot laju selama 40 minit dari Jeti Marina Labuan.
Terangnya, pulau tersebut menempatkan batuan sedimen berusia jutaan tahun dengan retakan yang menyerupai panorama petak-petak sawah padi.
“Struktur batuan berkenaan terletak di tepi pantai. Jadi, para pelawat perlu menunggu sehingga air laut surut untuk melihat formasi berkenaan,” ujarnya.
Satu lagi geotapak menarik di Labuan adalah Tanjung Kubong yang boleh diakses menerusi pendakian laluan Chimney Walking Trail.
Nor Hidayah memberitahu, pelawat perlu mendaki sejauh 1.5 kilometer dan melalui kawasan tinggalan perlombongan British sebelum menuju ke pantai Tanjung Kubong.
“Di Tanjung Kubong ini terdapat lapisan batuan bersilang yang cukup menarik serta batuan pasir belait. Tapak geologi lain yang wajib dilawati adalah batuan menakung minyak di Kampung Ganggarak.
“Di sini, pelawat boleh melihat sendiri minyak keluar dari celah-celah batuan. Untuk sampai ke sini, pelawat perlu mendaki sejauh 200 meter,” ujarnya.
Perbadanan Labuan juga telah mengenal pasti sembilan lokasi di pulau itu yang dikategorikan sebagai tapak budaya untuk diterokai para pelawat.
Antaranya ialah Kampung Air Tradisi Patau-Patau, Kampung Tradisi Bebuloh Laut, Rumah Api Pulau Kuraman dan Pulau Mayat Rusukan Besar.

Tegas Nor Hidayah, tapak budaya pula merupakan kawasan-kawasan yang boleh dilawati pelawat untuk mengenali budaya, cara hidup dan kesenian penduduk tempatan.
Katanya, salah satu lokasi yang wajib adalah Kampung Air Tradisi Patau-Patau yang menawarkan pakej inap desa menarik kepada pelawat.
“Di kampung ini, pelawat boleh merasai pengalaman tinggal di perkampungan atas air. Mereka juga akan diajar mengenai cara hidup, makanan, kesenian serta proses penangkapan ikan secara tradisional,” ujarnya.
Memandangkan masih ramai pengunjung tidak sedar akan kewujudan geopark di pulau berkenaan pihak Perbadanan Labuan telah mengambil inisiatif meletakkan papan tanda maklumat.
Hasil dapatan Tourism Malaysia Cawangan Labuan, jumlah kedatangan pelawat ke pulau tersebut adalah 1,263,021 pada tahun 2019 sebelum penularan Covid-19.
Berdasarkan dapatan tersebut juga menunjukkan Labuan menjadi destinasi kegemaran golongan muda terutama mereka yang ingin merasai kehidupan di pulau.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Mohd. Faharuddin Hatmin berkata, pelancongan geopark di Labuan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan kepada pelancong.
Jelasnya, ia merupakan satu nilai tambah kepada produk-produk pelancongan sedia ada di pulau yang terkenal dengan pantai dan pemandangan matahari terbenam itu.
“Saya difahamkan geopark yang terdapat di Labuan ini berusia antara 15 hingga 35 juta tahun. Ia satu penemuan yang sangat menakjubkan.
“Kami berpendapat tempat-tempat ini sangat berpotensi untuk dimajukan sekali gus menjadi daya tarikan baharu kepada pelawat,” katanya.














