JOHOR BAHRU – Jabatan Pendakwaan Negeri Johor akan membuat rayuan setelah Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini membenarkan jurujual wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman berkata, rayuan tersebut akan difailkan dalam masa terdekat.
“Kita akan berbincang dahulu dengan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, sebelum memfailkan rayuan dalam tempoh 10 hari ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret hari ini.
Mahkamah Majistret dilaporkan mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan tertuduh, Sam Ke Ting, 26, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan tersebut, mengulangi keputusan sama dibuat sebelum ini selepas Ke Ting diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Tengku Amir Zaki manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.
Sementara itu, peguamnya, Muhammad Faizal yang ditemui pula, turut enggan mengulas lanjut mengenai keputusan mahkamah berkenaan.
“Buat masa ini, kami tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana kes masih belum selesai.
“Kita jangkakan bahawa pihak pendakwaan akan membuat rayuan. Oleh itu, tiada komen boleh diberikan,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














