fbpx
UJAR Mohammed Azman, ketika negara diuji dengan pandemik Covid 19, statistik SIP menunjukkan kadar kehilangan pekerjaan meningkat dengan drastik.

Inisiatif baharu Perkeso terus bantu pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK penubuhannya 50 tahun lalu, Perkeso mempunyai matlamat yang jelas iaitu memberi perlindungan keselamatan sosial menyeluruh kepada pencarum.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed yang antara lain menceritakan peranan badan tersebut terhadap pekerja di negara ini dan cabaran serta langkah terbaharu dilakukan pihaknya dalam mendepani pandemik Covid-19.

Setelah lima dekad beroperasi, jenama Perkeso sudah tidak asing kepada rakyat Malaysia, apatah lagi ketika negara diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

Dalam mendepani keadaan semasa ketika pandemik, Perkeso turut diberi mandat besar untuk melaksanakan beberapa inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yag bertujuan membantu pekerja dan majikan yang terkesan, di samping merancakkan semula pasaran buruh dan ekonomi negara.
—————————————————————————————————————————————————-
PEJAM celik, pejam celik sudah 50 tahun usia Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak ditubuhkan pada tahun 1971.

Perkeso kini mempunyai pelanggan terdiri daripada lebih tujuh juta individu dan 400,000 majikan yang mencarum di seluruh negara.

Secara hakiki, penubuhannya untuk membayar pampasan yang merupakan faedah untuk kemalangan kerja mahupun kes keilatan.

Bagaimanapun, Perkeso telah mengalami transformasi yang cukup besar seiring dengan keperluan semasa. Ini termasuk menyesuaikan peranannya berdepan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak hampir dua tahun lalu.

Wartawan Kosmo! Ahad, ZULKIFLI MANZOR menemu bual Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed bagi menyelami perkembangan itu baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah peranan Perkeso dalam memastikan keselamatan sosial rakyat Malaysia pada waktu pandemik Covid-19?

DR. MOHAMMED AZMIN: Tujuan penubuhan Perkeso amat jelas untuk memberi perlindungan keselamatan sosial menyeluruh kepada pencarum.
Setelah lima dekad beroperasi, jenama Perkeso sudah tidak asing kepada rakyat Malaysia, apatah lagi ketika negara diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

Peranan dimainkan Perkeso cukup besar ketika tempoh mencabar ini dalam melindungi dan membela nasib rakyat yang terkesan.

Ketika negara diuji dengan pandemik Covid 19, statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menunjukkan kadar kehilangan pekerjaan meningkat dengan drastik.

Namun dengan adanya perlindungan di bawah SIP, kerajaan menerusi Perkeso berjaya membantu ramai individu yang kehilangan kerja kembali ke alam pekerjaan.

Selain itu, Perkeso membantu mengurangkan bebanan mereka akibat kehilangan pekerjaan dan dalam tempoh mencari pekerjaan dengan bantuan kewangan menerusi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).

Perkeso juga diberi mandat besar untuk melaksanakan beberapa inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bertujuan untuk membantu majikan dan pekerja yang terkesan akibat Covid-19, selain merancakkan semula pasaran buruh dan ekonomi negara.

Antaranya Program Subsidi Upah (PSU), Penjana Kerjaya, SIP Prihatin, PenjanaGig, SPS Lindung dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Perkeso juga melaksanakan inisiatif sendiri iaitu Program Saringan Prihatin untuk membantu kerajaan mengekang penularan pandemik.

Apakah transformasi ketara dapat dilihat jika kita bandingkan Perkeso yang dahulu dengan Perkeso kini?

Pada awal penubuhannya, Perkeso mentadbir dan melaksanakan perlindungan keselamatan sosial menerusi dua skim iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Selama tempoh kira-kira 46 tahun, perlindungan Perkeso tertumpu kepada pekerja di sektor formal sahaja. Ini mewujudkan jurang besar antara rakyat yang bekerja dengan majikan dan tanpa majikan.

Mereka bekerja sendiri tidak mendapat perlindungan sosial semasa bekerja.

Lantaran itu, kami mengorak langkah dengan memperluas liputan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) pada 2017 menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi perlindungan kepada pekerja sektor informal.

Ini disusuli dengan pengenalan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) pada awal 2018 yang mana Perkeso melindungi dan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Kita dapat lihat transformasi dalam perlindungan keselamatan sosial disediakan Perkeso mencakupi lebih ramai golongan masyarakat.

Bagaimana transformasi yang Datuk Seri sebutkan itu mengubah ruang lingkup peranan dan tanggungjawab Perkeso?

Perkeso pada awal penubuhannya begitu sinonim dengan pembayaran pampasan iaitu faedah-faedah kepada pekerja yang mengalami bencana kerja mahupun keilatan.

Kemudian ia ditransformasikan untuk membolehkan pencarum terbabit dipulihkan dan dapat bekerja serta meneruskan kehidupan berkualiti setelah bencana berlaku.

Kami kini memberi fokus kepada aspek pencegahan. Tidak hanya pencegahan kemalangan, tetapi juga pencegahan penyakit tidak berjangkit dan sebagainya.

Perkeso juga mengorak langkah lebih jauh dengan membantu kerajaan merangka dasar-dasar yang berkaitan. Sebagai contoh, Perkeso amat prihatin dalam membantu kerajaan merangka Program Subsidi Upah yang bertujuan untuk membantu perusahaan meneruskan perniagaan mereka sewaktu pandemik.

Apabila perusahaan dibantu untuk meneruskan operasi, kita juga dapat mengekalkan pekerjaan dan mencegah para pekerja hilang punca pendapatan.

Menerusi Program Return to Work serta perkhidmatan padanan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs, Perkeso membantu mereka yang hilang kerja, graduan atau pekerja yang mencari peluang kerjaya lebih baik.

PERKESO bertanggungjawab memberi perlindungan keselamatan sosial menyeluruh kepada pencarum. –GAMBAR HIASAN

Apakah maksud di sebalik tema Prihatin Lima Dekad dan Selamanya sempena sambutan Ulang Tahun Perkeso Ke-50, 1 Oktober lalu?

Prihatin itu adalah jiwa Perkeso. Keprihatinan dalam diri setiap kakitangan Perkeso untuk sentiasa berusaha memberi yang terbaik iaitu lebih daripada sepatutnya demi membantu pencarum.

Sebagai sebuah institusi perlindungan keselamatan sosial, nilai-nilai keprihatinan menjadikan kami tidak pernah berasa puas dengan pencapaian yang ada.

Pasti ada ruang untuk menambah baik setiap apa yang kami lakukan.

Kami sentiasa mencari dan meneliti siapakah lagi rakyat Malaysia yang masih belum dilindungi dan bagaimana caranya program baharu dapat dirangka dan distruktur agar mereka dapat ‘dipayungi’ bersama.

Antara manifestasi keprihatinan Perkeso adalah penubuhan Skuad Perkeso Prihatin (SPP) pada 2016. Ia diwujudkan bagi membawa Perkeso lebih dekat dengan pencarum.

Skuad ini juga mengambil langkah proaktif dengan memantau berita mengenai kemalangan dan kematian di media massa dan juga media sosial, di samping perkongsian maklumat oleh wakil dan pemimpin masyarakat.

Sebaik berita dikesan atau diterima, SPP segera menyemak maklumat mangsa kemalangan atau penyakit.
Sekiranya individu tersebut layak mendapat faedah, SPP akan terus menghubungi dan menyalurkan bantuan segera kepada pencarum atau orang tanggungan tanpa perlu hadir untuk membuat tuntutan.

Pada pendapat Datuk Seri, adakah aspek perlindungan keselamatan sosial di Malaysia mempunyai ekosistem dan rangka tindakan komprehensif dan responsif?

Secara keseluruhannya, ekosistem keselamatan sosial di Malaysia adalah komprehensif dan responsif. Ini dapat dilihat dilihat daripada dasar dan inisiatif diperkenalkan semasa pandemik Covid-19.

Pandemik ini telah memperlihatkan bagaimana kerajaan, agensi-agensinya serta pelbagai institusi lain berganding bahu dan bekerjasama merangka dan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam membendung masalah ekonomi, kesihatan dan sosial demi kesejahteraan semua.

Bagaimanapun, selari dengan peredaran zaman, pastinya ada ruang dan peluang untuk sistem keselamatan sosial ditambah baik.

Sebagai contoh, ketika ini penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan dilaksanakan pelbagai agensi.

Ini menimbulkan kemungkinan terdapat pihak yang menerima bantuan berganda atau lebih membimbangkan, ada yang tercicir daripada menerima bantuan.

Bagi memastikan sumber negara diurus dan dimanfaatkan dengan cekap dan optimum, koordinasi yang kemas serta kerjasama dan komunikasi cekap antara kesemua agensi itu perlu dilaksanakan dengan berkesan.

Bagi mencapai hasrat ini, Perkeso mengambil tindakan proaktif dengan membangunkan rangkaian koordinator di bawah Program Sosial Sinergi yang mana melibatkan koordinasi dan kerjasama pelbagai agensi yang menyalurkan bantuan.

Apakah kepentingan sistem keselamatan sosial yang komprehensif bagi memastikan sumber negara diurus dan dimanfaatkan dengan cekap?

Perlindungan keselamatan sosial masih belum dinikmati oleh segelintir segmen masyarakat seperti suri rumah, sebahagian daripada golongan yang bekerja sendiri dan juga mereka dalam sektor informal.

Sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, mereka terpaksa bergantung kepada bantuan daripada sumber lain seperti adik beradik, ahli keluarga dan sebagainya.

Ini satu pendekatan kurang mampan dan kita bimbang sekiranya mereka tercicir daripada ekosistem perlindungan sosial negara, akan terjatuh dalam kancah kemiskinan dan pelbagai masalah lain.

Dengan adanya sistem keselamatan sosial komprehensif, kita dapat memastikan individu-individu ini akan sentiasa dilindungi.

KATA Mohammed Azman, Perkeso ini memberi fokus kepada aspek pencegahan termasuk melibatkan kemalangan, pencegahan penyakit tidak berjangkit dan sebagainya.

Apakah tindakan Perkeso dalam merapatkan lagi jurang perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri?

Pandemik yang berlaku memperlihatkan peralihan dalam pasaran pekerjaan.

Permintaan tenaga kerja daripada sektor formal beralih kepada ekonomi gig apabila majikan mengurangkan pengambilan tenaga kerja.

Untuk merapatkan lagi jurang perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri, kami melihat peranan penting perlu dimainkan tiga pihak iaitu kerajaan, platform penyedia perkhidmatan gig dan pekerja gig.

Pertama, menerusi peruntukan kerajaan, kedua Perkeso bekerjasama dengan platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig dan ketiga adalah pekerja gig itu sendiri.

Selain itu, adalah penting bagi Perkeso terus berinovasi untuk membangunkan produk-produk yang bersesuaian bagi menyokong dan melindungi tenaga kerja masa hadapan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN