Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
MELAKA – Tiada keperluan penglibatan pihak ketiga untuk menyiasat insiden membabitkan pemberian vaksin kepada rakyat negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan bertindak pantas dalam menyiasat kes-kes berkaitan kesan vaksinasi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula bulan lalu.
Menurut beliau, jika berlaku sesuatu di pusat pemberian vaksin (PPV) seperti kesesakan luar biasa dan insiden pengsan selepas divaksin, tindakan segera adalah menghubungi pejabat kesihatan daerah (PKD) dan PPV yang terlibat bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
“Siapa hendak siasat kalau bukan Kementerian Kesihatan? Setakat ini tiada masalah.
“Siasatan kami adalah telus dan jujur kerana ini adalah tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar yang pengsan selepas divaksinasi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan video seorang remaja rebah selepas menerima suntikan dos pertama di PPV Encore, Klebang di sini, semalam.
Siasatan lanjut mendapati, perasaan gemuruh dan tidur lewat menjadi punca kepada kejadian melibatkan dua individu iaitu remaja berusia 13 tahun dan kanan-kanak (12 tahun).
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, apa yang berlaku bukanlah disebabkan kesan vaksin dan meminta ibu bapa bertenang serta tidak bimbang.
Jelasnya, pihaknya sudah menghubungi doktor dan PPV terlibat, seterusnya mendapati tiada masalah semasa proses pemberian vaksin.
“Saya menasihati para ibu bapa untuk main peranan agar anak-anak bersedia untuk menerima vaksin. Pastikan mereka bersarapan, tidur awal dan jangan lakukan aktiviti lasak selepas divaksin,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929