ALOR SETAR – Kejayaan sindiket penyeludupan barang terlarang seperti ketum ke Thailand menerusi perairan Kedah dan Perlis banyak dibantu oleh tonto yang menjadi tali barut untuk melancarkan kegiatan jenayah itu.
Malah, sindiket tersebut juga sanggup membayar ribuan ringgit kepada tonto bagi memastikan kegiatan mereka tidak dikesan pihak berkuasa.
Tonto yang digelar ‘orang jaga line’ atau ‘orang jaga ayaq’ diupah untuk mengawasi pergerakan bot pihak berkuasa selain mengenal pasti laluan selamat bagi aktiviti penyeludupan.
Peranan mereka mudah iaitu hanya perlu menyalurkan maklumat menerusi satu panggilan telefon atau mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada sindiket atau transporter.
Mereka dikatakan diupah RM1 hingga RM2 bagi setiap kilogram barangan yang mahu diseludup dan jika berjaya, imbuhan tambahan bakal diterima.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kewujudan tonto ini adalah bagi memudahkan perancangan rantaian sindiket untuk melakukan aktiviti penyeludupan.
“Hasil maklumat yang diperoleh, tonto ini wujud dalam setiap rangkaian aktiviti penyeludupan keluar dan masuk barangan kontraban seperti dadah, daun ketum, barang kawalan selain penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya kepada Kosmo! di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat, tonto akan menyamar sebagai nelayan tradisional, pemancing dan penduduk yang tinggal di tepi kuala sungai yang mana taktik terbaharu mereka ialah menggunakan dron bagi mengawasi pergerakan bot APMM.
“Kehadiran tonto ini dilihat dalam pelbagai karakter seperti nelayan tradisional atau pemancing. Kita percaya ada masyarakat tempatan seperti nelayan di sini yang terlibat dalam rangkaian penyeludupan ini.
“Faktor ini dikaitkan dengan isu semasa iaitu penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan penduduk tempatan sukar mencari pendapatan seterusnya memberi ruang kepada sindiket untuk menawarkan upah tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat juga dalam kalangan penduduk kampung yang terlibat menawarkan perkhidmatan kepada sindiket seperti memberi sewa jeti persendirian atau pelantar sebagai lokasi untuk menurunkan barang seludup.
“Sindiket menggunakan khidmat kepakaran nelayan tradisional atau nelayan pesisir pantai yang berpengalaman serta cekap dengan perairan setempat terutama dalam mengenal pasti laluan untuk melakukan jenayah itu,” jelasnya.
Mohd. Zawawi berkata, antara taktik yang digunakan tonto adalah mengubah haluan serta kawasan pendaratan barang seludup bagi mengelak bertembung dengan bot penguat kuasa yang sedang melakukan operasi.
“Terdapat lima lokasi penurunan barang seludup di Perlis iaitu Bukit Batu Putih, Kuala Perlis, Kuala Sungai Baru, Kuala Kurong Tengar dan Kuala Sanglang di sebelah Perlis.
“Sementara di Kedah pula ialah Kuala Sanglang, Kuala Tunjang, Kuala Jerlun, Kuala Kuar dan Kuala Kedah,” katanya.
Menurutnya, tonto juga disyaki memberi maklumat palsu kepada penguat kuasa dengan memaklumkan kejadian yang bakal berlaku di lokasi salah yang mana kejadian sebenar akan berlaku di tempat lain.
“Taktik lain ialah menangguhkan hari penyeludupan daun ketum selewat-lewatnya tiga hari kerana daun itu mampu bertahan dalam masa tiga hari.
“Apabila diletakkan ke dalam bot, ia tidak boleh melebihi lapan jam untuk dihantar kepada nelayan Thailand di sempadan perairan negara,” ujarnya. -K! ONLINE


















