PADA tahun 2003, syarikat pengeluar motosikal berkuasa tinggi Ducati telah memperkenalkan model Multistrada yang tergolong dalam segmen touring (pengembaraan).
Pesaing terdekat Multistrada ketika itu ialah BMW GS.
Model pertama yang dikenali sebagai Ducati Multistrada 1000DS berjaya dikenali sebagai motosikal pengembara, sesuai dengan karakternya.
Dua tahun selepas itu, Ducati memperkenalkan pula Multistrada 620 dengan kapasiti enjin lebih kecil untuk bersaing dengan Kawasaki Versys.
Baru-baru ini, Ducati Malaysia secara rasmi telah telah melancarkan Multistrada V4 S di bilik pameran Ducati Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Banyak ciri menarik ditawarkan seperti radar depan dan belakang (seperti kereta), tempoh servis enjin lebih lama (15,000 kilometer) atau dua tahun selain padat dengan teknologi terkini.
Seperti generasi sebelumnya, motosikal jenis ini bukan sahaja menggabungkan keseronokan menunggang, tetapi juga memberikan kepuasan maksimum selain pengendalian yang lebih mudah di atas jalan raya dan penuh keselesaan.
Multistrada V4 S dengan kapasiti enjin 1,158cc mampu menghasilkan kuasa maksimum 170hp, manakala tork maksimum boleh mencecah 125Nm pada 8,750rpm. Kapasiti penuh tangki minyak motosikal ini ialah 22 liter.
Motosikal ini juga ditawarkan dengan empat mod tunggangan seperti Sport, Touring, Urban dan Enduro. Penunggang boleh memilih mod mengikut corak tunggangan masing-masing.
Kerangka Ducati Multistrada V4 S ini menggunakan jenis aluminum ‘monocoque’ dengan suspensi hadapannya ialah 50 milimeter (mm) fully adjustable USD fork berserta swingarm Ducati Skyhook, manakala di bahagian belakang pula fully adjustable monoshock.
Model ini menggunakan tayar hadapan jenis Pireli Scorpion Trail bersaiz 170/60 ZR19, manakala tayar belakang jenis sama dengan saiz 170/60 ZR17.
Sistem breknya pula menggunakan Brembo Monobloc 4 Piston untuk bahagian depan, manakala bahagian belakangnya pula menggunakan Brembo M50 Stylema Monobloc 4 Piston. Pasangan brek ini hadir lengkap dengan Cornering ABS.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (biasa ada di kereta), pengesanan titik buta, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control, Autoleveling dan Ducati Quick Shift.
Dari sudut rekaan, penulis melihat motosikal ini ibarat membawa watak macho. Walaupun binaannya agak tinggi tetapi susunan aliran aerodinamiknya nampak kemas.
Sirip di sisi enjin melengkapkan fungsi aerodinamik di samping membantu memberi pengudaraan kepada penunggang.
Masalah yang selalu terjadi untuk sebuah motosikal segmen touring ialah binaan motosikalnya agak tinggi. Ducati cuba menyelesaikan masalah itu dengan menawarkan ciri boleh laras ketinggian tempat duduk dari 840milimeter (mm) hingga 860mm.

Penghadang cermin hadapan penunggang juga boleh dilaraskan menggunakan satu jari. Perkara ini sebenarnya merupakan antara perkara kecil yang sebenarnya cukup bernilai buat seorang penunggang.
V4 S turut dilengkapi skrin TFT bersaiz 6.5 inci lengkap dengan aplikasi Ducati Connect dan sistem navigasi penuh.
Ia boleh dikawal menggunakan pengawal joystick yang terletak di handle berhampiran tangan kiri penunggang.
Di atas tangki minyak terletak satu ruang kalis air untuk penunggang motosikal ini menyimpan telefon pintar agar gajet itu mudah untuk dicapai.
Berat keseluruhan motosikal ini 215 kilogram. Ducati Malaysia menawarkan dua tahun jaminan tanpa had perbatuan untuk motosikal ini.
Dua warna ditawarkan iaitu Ducati Red dan Aviator Grey untuk Ducati Multistrada V4 S.
Harga ditawarkan bagi V4 S ialah RM147,865 di atas jalan tanpa insurans.
















