fbpx
Gambar hiasan

Boleh balik kampung penghujung Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Negara mampu mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa selewat-lewatnya akhir bulan depan berdasarkan petunjuk rekod semasa yang dilihat begitu memberangsangkan pada masa ini.

Petunjuk itu sekali gus memberi harapan bahawa orang ramai boleh pulang menemui insan tersayang di kampung halaman penghujung Oktober ini.

Sebagai rekod negara menca­tatkan kadar peratusan vaksinasi dewasa sebanyak 49.7 peratus pada 17 Ogos sebelum melonjak kepada 61.9 peratus pada 28 Ogos dan mencapai 81 peratus setakat semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan aktiviti rentas negeri akan dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

DR. SHARIFA EZAT

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, berdasarkan rekod vaksinasi, liputan imunisasi 90 peratus dalam kalangan dewasa berkemungkinan berjaya dicapai penghujung Oktober ini sangat tinggi.

Bagaimanapun, katanya, kadar tersebut dilihat secara purata dan kerajaan perlu memastikan setiap negeri tidak ketinggalan mencapai sasaran tersebut termasuk Kelantan dan Sabah.

“Pemberian kelonggaran berdasarkan imuniti kelompok sudah diamalkan negara luar seperti Denmark, Jepun dan Emiriyah Arab Bersatu yang membuka sektor-sektor ekonomi serta sosial mereka dengan melihat kadar vaksinasi lengkap melebihi 80 peratus.

“Pada pendapat saya, seseorang itu hanya boleh dibenarkan balik kampung jika telah lengkap vaksin dan disahkan ujian saringan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas. Mereka juga perlu saringan semula sebelum kembali ke bandar atau kediaman asal.

“Ini memandangkan ada yang pulang ke kampung halaman dan bertemu keluarga di kampung yang belum divaksin seterusnya dikhuatiri menjadi punca jangkitan baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

 

Dr. Mohd. Dzulkhairi

Nada yang sama disuarakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya. Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani yang memaklumkan, apabila kelonggaran sudah diberikan, masyarakat diharap dapat berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas dan membatalkan atau menangguh perjalanan sekiranya tidak sihat.

Katanya, ini kerana perjalanan balik kampung bukan hanya merentas sebuah negeri dengan sesetengah individu perlu harus menempuh beberapa negeri sebelum tiba di destinasi yang ingin dituju.

“Pada pandangan saya, tunggu pengumuman kerajaan dan garis panduan yang dikeluarkan kelak adalah berdasarkan kepada analisis risiko pada waktu tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kemungkinan berlaku jangkitan sepanjang perjalanan bukan hanya berisiko kepada individu yang melakukan perjalanan bahkan kepada individu sepanjang perjalanan dan juga destinasi tujuan.

“Berbeza dengan aktiviti pelancongan yang terkawal serta dipantau SOP. Pulang ke kampung memungkinkan SOP tidak dihiraukan.

“Dalam kebanyakan situasi, SOP seperti tidak bersentuhan, sentiasa mengenakan pelitup muka apabila bertemu dengan individu yang berlainan isi rumah dan penjarakan fizikal mungkin sukar dilakukan.

“Kecuaian dalam hal sebegini boleh menyebabkan penularan penyakit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN