RAMAI orang sebenarnya tidak suka melakukan perjalanan jauh untuk bercuti bersama keluarga pada musim hujan kerana berasa rimas dengan persekitaran dan jalan yang basah, cuaca sejuk dan sebagainya.
Namun, jika ia telah dirancang dari awal dan tempahan penginapan telah dibuat, mahu tidak mahu percutian tersebut perlu diteruskan bagi mengelak kerugian.
Minggu ini, kolum Tip Kembara memberikan beberapa panduan berguna kepada mereka yang ingin meneruskan percutian ketika hujan bagi memberikan pengalaman indah dan mengelak kehilangan mood, selain membangkitkan semangat kepada si kecil melakukan aktiviti menyeronokkan.
————————————————————————————————————————————
CUACA adalah faktor yang sangat diambil kira apabila membuat perancangan untuk bercuti kerana ramai orang sanggup berpanas berbanding melancong dalam keadaan hujan.
Jalan yang becak dan licin serta keadaan basah membuatkan orang tidak selesa untuk bercuti sehingga sanggup berada di dalam ruang tertutup atau memilih tinggal di rumah.
Namun, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini menyebabkan kita perlu berhadapan dengan hari hujan walaupun pada awalnya langit kelihatan cerah.
Musim hujan bukanlah alasan untuk kita tidak keluar berjalan dan membatalkan percutian kerana ia bakal memberikan pengalaman berbeza, selain membuatkan anak-anak teruja.
Berikut Horizon mencadangkan beberapa tip untuk bercuti ketika hujan agar segala yang dirancang berjalan lancar dan anda dapat menikmatinya dengan perasaan tenang.
1.Pakej pelancongan
Menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan merupakan salah satu alternatif kerana mereka lebih tahu tempat-tempat untuk dilawati atau membuat aktiviti menarik ketika musim hujan.
Apatah lagi jika kita kurang tahu dengan keadaan tempat tersebut ketika musim hujan dan pertama kali ke sana.
Pergerakan juga lebih mudah kerana pengangkutan disediakan pihak agensi pelancongan.
Selain itu, pakej pelancongan tersebut hendaklah bersesuaian dengan keadaan anda sekeluarga.
2.Peralatan dan kelengkapan yang sesuai
Bagi menghadapi percutian ketika musim hujan, anda perlu membawa peralatan dan kelengkapan yang bersesuaian seperti baju hujan, payung, kasut kalis air, topi dan jaket tebal untuk memanaskan badan.
Cuaca sejuk juga membuatkan kita mudah jatuh sakit seperti demam dan sakit kepala.
Oleh itu, jangan lupa membawa ubat-ubatan dan vitamin C agar badan sentiasa sihat serta bersedia untuk bercuti ketika musim hujan.

3.Buat perancangan awal
Anda harus peka dengan keadaan cuaca semasa dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Rancang sebaiknya dengan menyediakan alternatif lain sekiranya hujan terlalu lebat agar percutian tersebut tidak membosankan.
Sebaik contoh, sediakan permainan yang boleh dilakukan di dalam bilik hotel sementara menunggu hujan reda.
Keadaan tersebut membolehkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan semakin erat.
4.Pengangkutan
Bagi mereka yang memilih menggunakan pengangkutan sendiri ketika bercuti pada musim hujan hendaklah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
Selain itu, bersedia untuk menempuh perjalanan berliku, jalan licin dan penglihatan berkabus.
Pastikan kenderaan itu dihantar ke pusat servis untuk dibuat pemeriksaan dan penyelenggaraan sebagai langkah keselamatan sebelum memulakan pemanduan jarak jauh.
Kita tidak mahu percutian itu mengundang tragedi yang tidak diingini dan jika berlaku kerosakan di tengah jalan, pasti akan merosakkan mood untuk bercuti.

5.Destinasi bakal dilawati
Memilih lokasi percutian ketika musim hujan adalah perkara sangat penting agar kita dapat menikmati percutian dengan selamat dan menyeronokkan.
Buat semakan lokasi yang bakal dilawati seperti taburan hujan dan permukaan bentuk muka bumi, begitu juga sejarah banjir atau tanah runtuh.
Umumnya, musim hujan di negara tropika terjadi pada akhir tahun, tetapi jika anda bijak memilih lokasi bersesuaian, percutian tersebut akan memberikan pengalaman indah














