PETALING JAYA – Dengan hanya bermodalkan RM50, seorang individu yang terlibat dalam pelaburan mata wang kripto mampu menggandakan wang mereka sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
Dianggap sebagai pelaburan wang digital paling mudah dan efisien, kewujudan mata wang kripto berjaya menarik minat orang ramai terutama golongan muda untuk terlibat dalam pelaburan berkenaan.
Salah seorang pelabur, Muhammad Ijlal Abu Bakar, 31, berkata, dia mula tertarik dengan pelaburan mata wang kripto sejak awal tahun ini, dan kini selesa dengan keuntungan yang diraih.
“Pelaburan ini bukan seperti pelaburan emas yang perlukan modal besar, tetapi pelaburan kripto ini hanya perlukan modal serendah RM50.
“Paling penting, kerajaan sudah meluluskan tiga aplikasi yang boleh dipercayai untuk membuat pelaburan tersebut dengan mempunyai empat pilihan jenis mata wang digital iaitu bitcoin, ethereum, litecoin, XRP,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Muhammad Ijlal, sehingga kini, dia telah mengumpul keuntungan lebih RM10,000 sepanjang terlibat dalam pelaburan tersebut.
“Semasa mula melakukan pelaburan, saya hanya berbekalkan modal RM100, namun saya bahagikan kepada empat pilihan mata wang tersebut.
“Setiap bulan saya akan masukkan modal ke dalam akaun wang kripto sehinggalah saya mendapat pulangan modal yang besar setelah harga wang itu melambung naik,” ujarnya.
Seorang pengguna aplikasi Luno, Muhammad Zakuan, 28, berkata, pelaburan wang kripto memberi peluang kepadanya untuk membuat simpanan sambil menggandakan wang.
“Kunci untuk menggandakan simpanan atau pelaburan ialah sabar, beli semasa harga jatuh, kemudian jual pada harga tinggi.
“Pada mulanya, saya tidak berapa yakin, namun setelah mencuba nasib, saya mula tertarik melihat modal kecil digandakan.
“Bagaimanapun, saya sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada pakar-pakar pelaburan yang banyak memberi panduan dan nasihat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Online Crypto Trading Academy (OCTA), Mahmud Arsat berkata, golongan muda merupakan kumpulan masyarakat yang aktif dan paling tertarik dengan pelaburan mata wang kripto.
“Apa yang menarik minat mereka ialah modal yang rendah, tetapi boleh membuat pelaburan dan simpanan wang kripto ini.
“Ia sangat mudah, kita boleh tengok simpanan kita sendiri, boleh buat penarikan balik, semua proses berlaku hanya dalam talian,” katanya.

Tambahnya lagi, ketelusan pelaburan ini juga tidak dapat dipertikaikan dan mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“SC sebelum ini meluluskan tiga aplikasi yang boleh digunakan orang ramai iaitu Luno Malaysia, Sinergy Technologies dan Tokenize Technology.
“Ternyata orang ramai boleh download di Play Store atau di Apple Store untuk menggunakan aplikasi tersebut bagi membuat pelaburan,” katanya.
Jelasnya, ketiga-tiga aplikasi itu merupakan asas kepada simpanan dan pelaburan yang mudah dan mesra pengguna.
Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, orang ramai boleh membuat pelaburan hanya dengan mempunyai capaian internet.
“Sekarang zaman teknologi, namun kita perlu jadi pengguna bijak untuk melakukan pelaburan yang tepat, kalau nak selamat guna sahaja tiga platform tersebut yang sudah mendapat kelulusan SC.
“Pelaburan kripto bersifat ‘high risk, high reward’, lebih banyak wang dilaburkan lebih besar keuntungan. Bagaimanapun, graf pelaburan sering bertukar dan tidak boleh dijangka membuatkan pelaburan ini juga berisiko.
“Sebelum melakukan sesuatu pelaburan, pentingnya kita faham konsep serta karakteristik pelaburan itu, jangan main labur sahaja,” katanya.
Perlu waspada, jangan mudah terpedaya dan ditindas
PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum terlibat atau melakukan sebarang bentuk pelaburan.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, ia bagi memastikan pelabur-pelabur tidak mudah terpedaya dan ditindas pada masa hadapan.

Jelasnya, pihak SC sentiasa mengemas kini Senarai Peringatan Pelabur yang mengandungi laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang tidak diberi kebenaran atau tidak sah.
“Senarai ini dikemas kini secara berkala untuk rujukan pihak awam.
“Senarai tersebut juga boleh diperolehi di laman sesawang SC di https://www.sc.com.my/investor-alert,” katanya di sini baru-baru ini.
Tambahnya, orang ramai diminta memaklumkan kepada pihak SC sekiranya mereka mendapati wujudnya mana-mana aktiviti pasaran modal yang mencurigakan.
“Bagi sebarang pertanyaan atau aduan boleh diajukan kepada SC di talian: 03-6204 8999 atau e-mel kepada [email protected],” ujarnya. -K! ONLINE
















