ALOR SETAR – Kegiatan judi online kini menular dan bertambah rancak ‘menjangkiti’ penduduk kampung dengan kewujudan ejen-ejen bergerak yang hanya memerlukan telefon bimbit dan modal RM10 untuk memulakan pertaruhan.
Aktiviti haram yang semakin membarah tersebut menyebabkan penoreh getah, pesawah, pembantu kedai, penternak lembu, mekanik dan pelajar sekolah mula terjebak dan sanggup menghabiskan gaji serta wang simpanan untuk berjudi.
Oleh kerana begitu ramai yang terjebak, aktiviti itu kini dipanggil ‘sukan rakyat’ dalam kalangan kaki judi yang rata-ratanya sudah ketagih atas pengaruh rakan-rakan.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff memberitahu, kegiatan judi online dikesan menular dan ‘menjangkiti’ penduduk kampung sejak lebih tiga tahun lalu berdasarkan laporan diterima.
Katanya, ketagihan judi online dalam kalangan penduduk kampung sangat membimbangkan apabila ramai yang didakwa terlibat seawal usia belasan tahun sehingga ke peringkat warga emas.
“Mereka mudah terjebak kerana apa yang diperlukan untuk membuat pertaruhan adalah telefon pintar, capaian internet serta wang serendah RM10,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, lebih memburukkan keadaan apabila ejen-ejen bergerak mula masuk ke kawasan kampung untuk menawarkan tambah nilai bagi memudahkan tahi judi melakukan pertaruhan.
Menurut Mohamad Yusrizal, ada sebahagian kaki judi sanggup menghabiskan wang hasil menoreh getah untuk tambah nilai dalam satu aplikasi perjudian kononnya untuk menggandakan wang tersebut.
“Mungkin sesekali boleh menang tetapi disebabkan ketagihan mereka akan terus menerus menggandakan wang sehingga hilang semuanya,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, sindiket perjudian kini lebih mudah bergerak apabila tidak perlu lagi beroperasi atau berselindung di sebalik premis lain.
“Ejen-ejen ini boleh menawarkan khidmat tambah nilai wang pertaruhan secara bergerak sahaja yang mana mereka akan masuk ke kampung sekiranya ada permintaan,” jelasnya.
Tambahnya, selain masalah ketum, ketagihan judi online menjadi satu lagi masalah serius yang perlu ditangani segera.
“Bukan mudah untuk tangani masalah ini kerana judi online boleh dilakukan di mana sahaja secara bersendirian di rumah mahupun di dalam kereta, cuma pihak polis boleh mengesan dan menahan ejen-ejen serta tauke menjual tambah nilai judi terlibat,” katanya.














