fbpx
SAFIKRI HIDAYAT mahu memastikan seni wayang kulit porwo terus terpelihara.

Safikri Hidayat tok dalang muda wayang kulit porwo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUZIK dangdut Indonesia yang dimainkan menerusi pembesar suara itu memecah keheningan malam di B5 Johor Street Market, Nusajaya, Johor Bahru.

Alunan irama rancaknya berjaya menarik perhatian pengunjung di situ mengerumuni ruang depan sebuah layar putih yang disuluh cahaya elektrik dari bahagian belakang.

Sejurus muzik berakhir, kelibat beberapa bayang patung yang mewakili watak-watak tertentu ‘bersedia’ di depan layar putih bersaiz lima meter persegi itu.

Watak-watak tersebut menjadi peneraju penceritaan kisah Hikayat Puteri Gunung Ledang yang dimainkan oleh tok dalang di belakang layar.

Pergerakan patung yang lincah selain intonasi suara pelbagai telah membuatkan para penonton tertarik serta tidak berganjak dari depan skrin selama hampir satu jam.

Usai persembahan, sebahagian besar penonton menunggu di belakang pentas untuk melihat rupa tok dalang wayang kulit tersebut.

Sebaik memunculkan diri, rata-rata penonton terkejut melihat seorang jejaka berusia 21 tahun merupakan tok dalang di sebalik persembahan itu.

Pemuda dikenali sebagai Safikri Hidayat Margono itu sebenarnya berpengalaman menjadi tok dalang persembahan wayang kulit porwo sejak kecil lagi.

Wayang kulit porwo atau Jawa merupakan seni budaya yang popular di Selatan Semenanjung terutamanya di Pantai Barat Johor. Seni persembahan ini dipercayai berasal dari Pulau Jawa, Indonesia dengan mengetengahkan cerita-cerita dalam kitab Mahabharata dan kisah Panji.

SENI wayang kulit porwo turut dipersembahkan bersama kumpulan pemain alat muzik seperti gong, gambang, kempul dan banyak lagi.

Berbeza dengan wayang kulit di kawasan Pantai Timur, wayang kulit porwo mempunyai pengaruh Jawa dan persembahannya dilakukan dalam bahasa Jawa atau Melayu.

Tok dalang dan kumpulan alat muzik juga memakai lilitan kepala tradisional Jawa, blangkon.

“Saya memilih menjadi tok dalang wayang kulit demi meneruskan legasi seni warisan peninggalan nenek moyang yang berasal dari Pulau Jawa.

“Datuk dan bapa saya juga merupakan tok dalang. Menjadi tanggungjawab saya meneruskan legasi ini supaya tidak ditelan zaman,” kata anak kelahiran Johor itu kepada K2.

Bapanya, Margono Paijo, 66, merupakan individu yang bertanggungjawab menurunkan segala ilmu berkaitan wayang kulit purwo kepada Safikri Hidayat.

Margono atau lebih dikenali sebagai Pak Sugiman merupakan tok dalang berasal dari Jawa Timur sebelum memasuki Johor pada tahun 1979 sebagai buruh tanaman kelapa sawit.

Pada masa sama, Pak Sugiman aktif sebagai tok dalang wayang kulit sehingga berjaya membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

PEMUDA ini menjadi dalang secara serius dengan hasrat memastikan seni wayang kulit porwo terus terpelihara di bumi Johor.

Bakat bermain wayang kulit Safikri Hidayat telah dikesan bapanya ketika dia masih kanak-kanak selepas melihat aksinya menggerakkan patung-patung.

“Dahulu ketika kecil, saya selalu minta bapa tinggalkan beberapa watak wayang kulit di rumah untuk bermain apabila dia keluar membuat persembahan.

“Suatu hari, bapa terlihat cara saya menggerakkan watak-watak ini. Bapa cakap saya mempunyai bakat bermain wayang kulit secara semula jadi meskipun tidak diajar,” jelasnya.

Bermula detik itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra itu terus mendalami ilmu berkaitan wayang kulit porwo daripada bapanya.

Menariknya, pada usia enam tahun, Safikri Hidayat juga sudah mendapat kepercayaan menggantikan bapanya sebagai tok dalang ketika persembahan.

“Apabila ada masa lapang, saya selalu ikut bapa buat persembahan. Adakalanya, dia minta saya gantikannya sebagai tok dalang selama 10 hingga 15 minit untuk dia berehat seketika,” katanya.

Sewaktu berusia 14 tahun, dia memilih melupakan seketika dunia wayang kulit bagi memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.

Sehinggalah pada tahun lalu, Safikri Hidayat kembali menjadi dalang secara serius dengan hasrat memastikan seni wayang kulit porwo terus terpelihara di bumi Johor.

“Saya merupakan satu-satunya dalang muda dalam wayang kulit ini. Kebanyakan dalang yang ada di Johor ini sudah tua dan tidak lagi aktif.

“Jadi, rugi sekiranya bakat semula jadi dikurniakan kepada saya ini dibiarkan saja sehingga membuatkan wayang kulit ini terkubur,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

GAMBAR kenangan semasa kanak-kanak Safikri Hidayat bersama bapanya, Margono sewaktu memainkan wayang kulit porwo.

Fungsi wayang kulit porwo bukan sekadar hiburan masyarakat tetapi sebagai alat integrasi dan sebahagian jalan ceritanya telah diadaptasi dengan budaya tempatan serta agama Islam.

Biasanya, wayang kulit porwo berkisar cerita rakyat popular Nusantara seperti Hang Tuah, Hikayat Puteri Gunung Ledang dan Hikayat Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Penceritaannya dihidupkan oleh lebih 400 watak merangkumi raja, rakyat biasa, pahlawan dan antagonis. Antara watak popular ialah Bima, Arjuna, Seri Rama dan Dewi Srikandi.

Persembahan diiringi lagu dan bunyi yang terhasil daripada alat muzik tradisional seperti gong, gambang, kempul, kenong, gender, demung, saron, kompang dan rebab.

Dalam memperjuangkan seni itu, Safikri Hidayat turut mendepani pelbagai cabaran.

“Cabaran paling besar bagi saya adalah untuk menarik minat orang muda menonton wayang kulit. Saya berpendapat, perubahan perlu dilakukan terhadap seni ini termasuk aspek penggunaan bahasa, jalan cerita, lagu dan durasi.

“Misalnya, wayang kulit ini sering disampaikan dalam bahasa Jawa. Namun, ia harus diubah kepada bahasa Melayu kerana tidak ramai yang memahaminya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN