TIDAK semua yang kita impikan dalam hidup seperti inginkan pasangan yang baik, memahami kehendak dan keperluan kita menjadi kenyataan.
Minggu ini, kolum Dari Mahkamah Syariah memaparkan kisah pilu seorang isteri yang dilayan tidak sepatutnya hingga menyebabkan mengalami trauma sepanjang hayat.
Kisah yang boleh dijadikan teladan ini mengisahkan seorang suami yang selalu menginginkan hubungan badan dengan isteri tidak mengira tempat dan masa, hinggakan ketika berpantang selepas bersalin pun masih mahu ‘bersama’. Akhirnya akibat tidak tahan dengan perlakuan suami, si isteri memohon bercerai,.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEBAGAI anak gadis yang patuh dengan perintah kedua-dua orang tuanya, Zeti (bukan nama sebenar) akur apabila dia dijodohkan dengan lelaki pilihan keluarga.
Sebaik tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti, dia berkahwin dengan suaminya, Wan (bukan nama sebenar) yang lapan tahun lebih tua daripadanya.
“Ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak. Saya yakin dengan keputusan kedua orang tua saya untuk menjodohkan saya dengannya.
“Saya menganggap selepas berkahwin kami masih boleh mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam,” jelasnya.
Selepas berkahwin, dia berpindah mengikut suaminya yang bertugas di sebuah negeri di Pantai Timur.
Zeti menjelaskan, Wan seorang yang amat baik pada pandangan matanya dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Tetapi ada satu hal yang membuat Zeti menderita dalam perkahwinan mereka, suaminya mempunyai keinginan seksual yang tinggi dan sukar dikawal.
Katanya, ketika awal perkahwinan, seboleh-bolehnya setiap malam Wan mahu ‘bersama’ dan dia tidak kisah kerana mengerti kerana masih bergelar pengantin baharu.
Lagipun, balas Zeti, sebagai isteri dia harus mengikuti kemahuan suaminya itu.
Lebih parah selepas itu katanya, suaminya sering menonton video pornografi dan daripada situ, dia mendapat idea yang bukan-bukan ketika mereka ‘bersama’.
Setiap sudut di dalam rumah mereka menjadi tempat mereka melakukan hubungan intim.
Selepas enam bulan berkahwin, Zeti disahkan mengandung anak sulung dan pada ketika itu, dia berfikir suaminya akan berasa kasihan dengannya serta menjarakkan masa untuk melakukan hubungan intim.

– GAMBAR HIASAN
Namun, sangkaannya meleset kerana Wan tetap mahu melakukan hubungan intim walaupun tahu dia penat disebabkan mengandung.
“Walaupun saya mengandung, dia tetap mahu ‘bersama’. Saya tidak dapat menolaknya.
“Ada ketika saya cuba menolak, tetapi dia tetap berkeras dan saya tidak mampu untuk melawannya,” jelasnya.
Pada ketika itu kata Zeti, emosinya cukup tenganggu dan jika diikutkan hati dia mahu berpisah dengan suaminya.
Dalam pada itu, penderitaan yang ditanggung Zeti melayan suami yang kuat keinginan seksual tidak terhenti walaupun dia baru melahirkan anak.
Selepas bersalin secara pembedahan, Zeti bercadang pulang ke rumah ibu bapanya untuk berpantang.
Bagaimanapun, suaminya itu tidak membenarkannya dengan alasan dia boleh menjaganya, selain ibu bapa mertuanya juga tinggal berdekatan dengan mereka.
“Bayangkan lima hari setelah saya melahirkan anak dan dalam tempoh berpantang dia mahu ‘bersama’ dengan saya.
“Dia menyatakan bahawa saya melahirkan anak secara pembedahan dan ia tidak memberi kesan sekiranya mereka melakukan hubungan badan,” jelasnya.
Dia menangis bersendirian menahan kesakitan selepas ‘bersama’ dan suaminya langsung tidak menunjukkan perasaan kasihan kepada dirinya.
Selepas kejadian itu, Zeti meminta izin suaminya untuk pulang ke rumah ibu bapanya.
Tanpa disangka, Wan memberikan kata dua kepadanya jika berani berbuat demikian, maka jatuh talak satu.
Akhirnya, dalam diam-diam Zeti menghubungi keluarganya datang mengambilnya untuk dibawa pulang.
Setelah pulang rumah keluarganya, Zeti menceritakan akan hal itu kepada ibu bapanya.
Dia mengambil keputusan untuk tidak kembali ke pangkuan suaminya dan mahu berpisah.
“Ibu bapa saya menangis saat saya menceritakan semua yang berlaku. Mereka menyerahkan keputusan itu kepada saya.
“Akhirnya saya dan suami sah bercerai di sebuah mahkamah Syariah,” jelasnya.














