PUTRAJAYA – Kes kematian harian masih melepasi angka 300 dengan 323 kes dilaporkan semalam menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 sebanyak 19,486 kes.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes harian pula mencatatkan 19,307 kes termasuk enam kes import, manakala 24,855 kes sembuh Covid-19 direkodkan.
“Sebanyak 242,802 kes aktif dicatatkan termasuk 1,310 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 737 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Daripada 19,307 kes harian yang dilaporkan, 302 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 19,005 kes (98.4 peratus) bagi kategori satu dan dua,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara amnya, sedikit penurunan dapat dilihat berhubung jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di dalam negara dengan purata nilai kebolehjangkitan (Rt) bawah 1.0 iaitu 0.97.
“Sarawak dan Terengganu menunjukkan peningkatan kes manakala trend mendatar dan kurang stabil ditunjukkan negeri Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah.
“Beberapa negeri lain pula menunjukkan situasi lebih baik seperti negeri-negeri di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Melaka,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














