IPOH – Proses vaksinasi di Perak lancar apabila seramai 1,397,535 orang atau 55.67 peratus telah menerima dos pertama, manakala 961,538 (38.3 peratus) lengkap dua dos suntikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin memberitahu, jumlah yang mendaftar sebagai penerima vaksin adalah 1,584,499 orang daripada kira-kira 2.5 juta penduduk.
“Kadar vaksinasi harian yang direkodkan pada 7 September iaitu terkini adalah 29,666 di mana 75 peratus bagi penerima dos pertama dan 51.6 peratus dos kedua.
“Sepanjang minggu pertama bulan ini iaitu 1 hingga 7 September pula sebanyak 226,761 dos telah diberikan kepada penerima bagi kedua-dua kategori suntikan,” ujarnya menerusi laman Facebook, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri menjangkakan boleh mencapai imuniti kelompok iaitu pada angka 80 peratus selewat lewatnya pada Oktober ini dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November tertakluk kepada bekalan vaksin.
“Antara langkah yang diambil untuk mempercepatkan kadar vaksinisasi dengan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) datang terus (walk-in) dan setakat ini sebanyak 19 PPV telah dibuka dengan kaedah itu,” ujarnya.
Sementara itu, daerah Kampar merekodkan kadar vaksinasi tertinggi di Perak apabila 73 peratus menerima dos pertama atau seramai 76,708 orang, manakala dos kedua 52 peratus (54,701) dengan jumlah yang mendaftar kira-kira 85,463 penduduk.
Daerah Manjung pula dengan seramai 168,800 penduduk yang telah mendaftar iaitu ketiga teramai di Perak mencatatkan kedua tertinggi dengan 143,629 menerima dos pertama iaitu 57.96 peratus manakalala dos kedua 45.86 peratus (113,647). -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














