PETALING JAYA – Rata-rata penduduk yang tinggal berhampiran Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong dekat sini, mahukan syarikat yang menguruskan sisa pepejal berhampiran kediaman mereka itu berada pada tahap terbaik dan sistematik serta menepati standard kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) seperti operator sedia ada.
Tinjauan Kosmo! mendapati, penduduk juga tidak mahu ‘peristiwa’ yang berlaku pada tahun 2013 yang menyaksikan lambakan bertan-tan sisa pepejal di sepanjang jalan di kawasan berkenaan berulang sekali lagi.
Seorang penduduk di Taman Beringin, Kepong, Nazlan Nazari, 43, berkata, syarikat yang menguruskan sisa pepejal ketika ini sebenarnya telah memainkan peranan dengan baik selama ini dan komuniti di kawasan berkenaan tidak mahu rekod cemerlang itu terhenti apabila syarikat itu tidak lagi menguruskan sisa pepejal di Kuala Lumpur.
“Isu melibatkan sisa pepejal bukan suatu yang boleh diambil ringan. Kita tidak boleh nafikan ia memberi kesan secara terus kepada masyarakat sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
“Justeru, saya berpandangan adalah wajar sekiranya operator yang sedia ada mahupun syarikat lain pada masa akan datang, perlu mengambil kira pandangan komuniti setempat berserta dengan pelan jangka masa panjang mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Bagi seorang akauntan, Nurul Atiqah Kamarzaman, 38, pihak berkuasa perlu memainkan peranan mereka terutamanya dari segi memastikan pelan jangka panjang dalam menguruskan sisa pepejal di stesen tersebut di masa-masa akan datang, mempunyai kelulusan dan memenuhi penilaian EIA.
Katanya, kelulusan tersebut adalah penting bagi memastikan mana-mana syarikat baharu nanti beroperasi secara sah dan tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang yang secara langsung bakal menjejaskan persekitaran setempat termasuk memberi impak negatif kepada kelestarian alam sekitar.
“Jika boleh, biarkan Alam Flora meneruskan tugas mereka menguruskan sisa pepejal, tetapi apa-apa pun ia bergantung kepada pihak berkuasa untuk menentukan siapa yang layak untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Sebab itulah penting bagi penduduk tidak kira sama ada di Taman Beringin atau lain-lain mengenali secara dekat syarikat pengurusan sisa pepejal baharu itu nanti jika ia benar-benar berlaku,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang penjaja, Syahrul Amri Adnan, 39, yang mengakui pengurusan sisa pepejal penting bagi golongan sepertinya.
“Penjaja seperti saya ada masanya akan menghasilkan sampah di lokasi berniaga. Sudah tentu pengurusan sisa pepejal yang baik sangat membantu golongan seperti kami.
“Kita mahu disiplin pengurusan sisa pepejal sedia ada terus dikekalkan, malah lebih baik oleh syarikat baharu. Banyak masalah akan timbul jika pusat pengumpulan sampah tidak diuruskan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Aida Mohd. Harun, 26, berkata, pengurusan sisa pepejal yang teratur selain pembuangan sampah secara berdisiplin oleh orang ramai memainkan peranan penting bagi memastikan alam sekitar sentiasa bersih.
“Jika salah satu ini tidak memainkan peranan dengan baik, susah jadinya. Sudah tentulah kita mahu syarikat pengurusan sisa pepejal baharu itu nanti boleh dipercayai.
“Harap pihak berkuasa tidak membuat keputusan terburu-buru. Kekalkan sahaja Alam Flora, lagipun mereka tahu apa yang nak dibuat sebab itu kerja mereka selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam berkata, dasar dan polisi berhubung pengurusan sisa pepejal negara perlu diperkasa dan ditambah baik bagi menjamin kelestarian alam sekitar.
Katanya, ini berikutan pertambahan populasi penduduk dari semasa ke semasa menyebabkan berlaku penghasilan sampah pada tahap maksimum hampir setiap hari di Malaysia.
Selain itu, beliau juga mahu setiap syarikat yang terlibat dalam pengurusan sisa pepejal mengemukakan dan membentangkan pelan mengikut standard yang ditetapkan EIA bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
“Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah berhubung peraturan pengasingan sisa pepejal.
“Kita sudah ada akta berkaitan perkara ini, tetapi apa yang kita lihat penguatkuasaannya tidak seberapa.
“Sisa pepejal semakin banyak, namun pengasingan tidak dilakukan dengan berkesan.
“Perlu juga setiap pihak mematuhi garis panduan EIA kerana ia adalah perkara penting yang menjamin kepatuhan pada alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lestari Alam, Rashdan Rashid pula berkata, anggota masyarakat perlu dididik mengenai kepentingan mengasingkan sisa pepejal dan kitar semula.
Menurut beliau, pengguna perlu dididik bahawa sisi pepejal tidak semestinya berakhir sebagai sampah sebaliknya boleh menjana sumber pendapatan.
Kata beliau, sisa basah boleh dikitar semula menjadi baja kompos, manakala sisa lain boleh dijual untuk tujuan kitar semula.
Tambah beliau, kesedaran itu secara tidak langsung akan mengurangkan beban negara dalam soal pengurusan sisa pepejal.
“Kita harap masyarakat boleh bangunkan sendiri sistem pengurusan sisi pepejal dalam komuniti mereka.
“Paling penting, masyarakat juga perlu tahu hak mereka iaitu memastikan mana-mana syarikat yang diberi kuasa menguruskan sisa pepejal agar mematuhi garis panduan EIA.
“Kita kena fikir bahawa sampah ini kita yang buat, maka tidak patut kita lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain menguruskannya,” kata Rashdan. -K! ONLINE