SHAH ALAM – Owa Resources Sdn. Bhd. berkemungkinan akan memfailkan petisyen pemiutang terhadap usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat atas kegagalan membayar jumlah penghakiman RM200,000 kepada syarikat itu.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili syarikat itu berkata, tindakan tersebut merupakan langkah terakhir bagi mendapatkan perintah muflis daripada mahkamah terhadap Sajat.
Menurutnya, sebelum ini, pihaknya memfailkan sitaan harta Sajat termasuk membekukan akaun RM5,000 selain notis bankrap di rumah usahawan itu.
“Notis kebangkrapan dibuat menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.
“Ini merupakan prosiding biasa selepas semua usaha yang dilakukan gagal dan pemfailan petisyen pemiutang adalah langkah terakhir bagi mendapatkan bankrup order yang akan menyebabkan Sajat muflis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Owa Resources merupakan bekas stokis utama produk bengkung milik Sajat.
Berita berkaitan: Polis syak Sajat berada di luar negara
Menurut Nurul Hafidzah, apabila arahan bankrap dikeluarkan nama Sajat akan diletakkan di bawah Jabatan Insolvensi dan perlu menyerah diri bagi tujuan pengisytiharan harta.
“Apa yang menyusahkan apabila bankrap bukan sahaja hutang ini (RM200,000), malah akan memberi kesukaran lain.
“Disebabkan hutang RM200,000, dia akan hadapi masalah lain pula di kemudian hari. Sehubungan itu, lebih baik bayar daripada bankrap selama-lamanya,” jelasnya.
Kosmo! pada 30 Julai lalu melaporkan Sajat diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ini susulan kegagalan Sajat membayar jumlah penghakiman RM200,000 kepada OWA Resources selepas tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.
Berdasarkan notis itu, Sajat perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh fail writ saman) hingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan).
Sajat juga perlu membayar RM70,000 bagi kos mahkamah dan setakat 3 Mac lalu, jumlah itu menjadi RM197,329.87.














