Oleh FAIZAL HAMID
SAMA ada kita sedar atau tidak, fesyen sebenarnya memainkan peranan penting dalam kehidupan.
Fesyen secara zahirnya membabitkan pakaian yang kita pakai, tarian yang kita tarikan, kereta yang dipandu, potongan rambut yang digayakan serta pelbagai aspek lain.
Ia juga mempengaruhi gaya hidup dan memberikan kesan pada setiap peringkat kehidupan.
Fesyen adalah aliran yang lazim merebak dalam masyarakat selari dengan sejarah dunia iaitu keinginan pada perubahan dan menjadikannya sebahagian daripada asas melengkapkan kehidupan.
Fesyen memiliki aura dan gaya hidup untuk memenuhi fantasi yang menjadi buruan kita. Tentunya keinginan untuk memperbaharui penampilan diri itu kerana mahu mendapatkan pengaruh, membuat teman-teman lebih tertarik, disenangi dan rapat dengan kita.
1. Ekspresi individualiti
Fesyen menyediakan kita dengan ritual yang memberikan keyakinan untuk menyerlahkan ekspresi individualiti tersendiri sebagaimana ikon fesyen memberikan apa yang kita mahu sebelum menyedari apa yang diingini oleh diri sendiri.
Ironinya inilah penjenamaan yang bekerja secara senyap, hampir tidak dapat dilihat, sealiran dengan fesyen itu sendiri. Ia mirip mantera yang membuatkan kita terus ingin berada dalam dunia tersebut.
2. Pasukan kreatif
Inilah dikatakan keajaiban penjenamaan fesyen yang sentiasa cuba mengumpan dan meraih perhatian pembeli.
Bermula dengan pemilihan fabrik, dipotong dan dijahit mengikut imaginasi dalam dunia mimpi pereka fesyen.
Koleksi yang telah siap pula diserahkan kepada kumpulan kreatif. Di sinilah bermula keajaiban menerusi pencarian model yang paling sesuai untuk pakaian yang dihasilkan.
Pereka kreatif, pengarah seni, penata gaya dan pereka grafik akan memulakan peranan mereka dengan pemilihan skema warna, pengenalan ataupun cerita untuk pakaian tersebut serta aksesori dan padanan yang menjadi pelengkap gaya.

3. Aliran fesyen
Hari ini, bahasa fesyen dipertuturkan dari New York, Amerika Syarikat hingga ke Tokyo, Jepun dan ia sudah pergi jauh dari tempat dikatakan asalnya, Perancis.
Aliran fesyen terbaharu mungkin datang dari London, Mumbai, Hong Kong atau tidak mustahil nanti dari Kuala Lumpur dan ia mungkin bukan daripada idea para pereka.
Ini kerana, bahagian pemasaran dan promosi dalam sesuatu organisasi boleh mempromosikan nama sesiapa jua sehingga ia menjadi sebutan, ikutan atau fashionable.
Apa sahaja barangan seperti kemeja-T hingga kasut sukan boleh menjadi kegilaan peminat fesyen.
4. Kekuatan imej
Sememangnya warna mempengaruhi mood selain mencerminkan personaliti dan keperibadian setiap individu.
Kemudian, saksikan pula kekuatan imej fotografi serta rekaan yang menjadi the flesh and bones of a brand diperagakan peragawati atau peragawan dalam majalah, di pentas peragaan dan di jalanan.
Sama penting juga logo, label, handtag, pembungkusan dan katalog. Seterusnya perkara sampingan bagi pihak publisiti seperti cenderamata, jemputan dan sebagainya.
Akhirnya ‘istana’ jenama tersebut iaitu gedung di mana rekaan itu dipamer dan dijual.
Di tangan mereka yang pakar, elemen-elemen tersebut akan mendapat sambutan luar biasa di pasaran.
Fesyen sememangnya berubah. Apa yang pasti manusia akan berterus-terusan menikmati keindahan fesyen kerana itu adalah antara elemen unik yang mendefinasikan budaya kotemporari.
5. Perubahan fesyen
Fesyen juga sentiasa berubah dan tidak statik. Ia berlaku terlalu cepat, sesuatu yang in fashion boleh bertukar menjadi out of fashion pada bila-bila masa.
Apa yang kita lihat mungkin pereka membuat perubahan ini mengikut mood dan kehendak hati tetapi realitinya rekaan mereka hanya akan diterima masyarakat jika ia benar-benar dapat mencerminkan zaman atau dekad pada waktu tersebut.
——————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.















