fbpx
Di kondominium inilah seorang jurutera maut selepas terjatuh dari tingkat 28 di Setapak, Kuala Lumpur kelmarin.-SHIDDIEQIIN ZON

Tragedi tukar mentol lampu balkoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Saya tergamam melihat lelaki jatuh betul-betul di depan mata.”

Demikian kata seorang pe­ngawal keselamatan mengenai kematian seorang jurutera syarikat minyak dan gas selepas terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak di sini kelmarin.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Raj berkata, selepas melihat mangsa terjatuh, dia segera menghampiri lelaki itu, namun tidak bergerak dipercayai sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Shahrul Ezrin Mohd. Rashid, 29, ditemui meninggal dunia di kaki lima lobi selepas terjatuh dari balkoni kediamannya di tingkat 28 kondominium tersebut.

Cerita Raj, sebelum kejadian itu, dia sedang bertugas dan berada di meja di lobi kondominium berkenaan.

“Tiba-tiba seorang lelaki berbaju putih jatuh terbaring di kaki lima (lobi). Saya mendongak dan melihat bumbung cermin di tingkat satu pecah.

“Saya terus mendekati lelaki tersebut dan memanggilnya, namun tiada tindak balas,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Raj kemudiannya menghubungi pengawal keselamatan lain dan pihak pengurusan untuk meminta bantuan.

Tambah lelaki itu, tidak lama kemudian seorang wanita yang juga isteri mangsa tiba di lokasi tersebut dan memanggil nama si mati sambil menangis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa sedang menukar mentol lampu di balkoni rumahnya.

“Mangsa dipercayai tergelincir daripada tangga yang dipanjatnya sebelum terjatuh ke tingkat bawah.

“Mangsa yang cedera parah di kepala serta badan disahkan meninggal dunia oleh pasukan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur yang tiba di lokasi kejadian,” ujarnya.

Menurut beliau, isteri mangsa yang berusia 29 tahun memaklumkan dia terkejut suaminya tia­da di balkoni rumah mereka sebelum turun ke lobi dan terkejut melihat lelaki itu dalam kea­daan terbaring.

“Pemeriksaan di rumah pasangan itu mendapati ada tangga di balkoni dan mangsa dipercayai tergelincir. Si mati bekerja dari rumah dan tidak mempu­nyai masalah keluarga atau kewa­ngan,” katanya.

Pasangan itu tinggal di kondominium tersebut sejak 2017 dan mempunyai seorang anak pe­rempuan berusia dua tahun.

Semakan mendapati mangsa telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dan tiada dalam senarai kontak rapat atau sedang dalam tempoh kuarantin. Kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN