fbpx
Mustaffa Kamal berkongsi pengalaman menakutkan dilaluinya apabila terpaksa tidur bersama mayat di ICU Hospital Kajang baru-baru ini.

‘Hari ini hidup, esok sudah meninggal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menyaksikan seorang demi seorang me­ninggal dunia dan terpaksa tidur bersama mayat di kiri dan kanan merupakan momen yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh bekas pesakit Covid-19 ketika mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Rata-rata mereka mengakui terpaksa melalui kejadian menakutkan dan mengerikan itu hingga menyebabkan fikiran mereka begitu terganggu apabila melihat pesakit lain menemui ajal selepas mereka terpaksa ditidurkan ekoran kekurangan oksigen di dalam badan.

Seorang peniaga nasi dagang, Mustaffa Kamal Embong, 52, berkata, walaupun dia sudah di­sahkan negatif, namun kesan jangka panjang Covid-19 menyebabkan kesihatannya masih belum stabil.

Katanya, dia melalui pengalaman yang cukup menakutkan sepanjang 12 hari berada di ICU Hospital Kajang.

Mustaffa

“Tujuh pesakit Covid-19 yang ada di kiri dan kanan katil saya meninggal seorang demi seorang. Ia sangat mengerikan hingga menyebabkan mental saya ‘koyak’ membayangkan saya terpaksa tidur bersama mayat di sisi.

“Dua malam saya resah memikirkan apa nasib yang akan saya hadapi selama berada di ICU. Biasanya, apabila doktor kata mahu tidurkan pesakit mereka akan meninggal selang dua hari kemudian,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Mengimbau semula saat dia dimasukkan ke ICU pada 30 Julai lalu, Mustaffa berkata, dia hanya kuarantin kendiri di rumah namun keadaannya semakin teruk hingga sesak nafas.

Tambahnya, sebaik tiba di Hospital Kajang dia diberikan bantuan oksigen sebelum dipindahkan ke wad di bawah khemah kerana mulai sembuh.

“Namun tanpa disangka badan saya tiba-tiba menggigil dan mencungap sebelum saya dimasukkan ke ICU dan diberikan bantuan oksigen,” katanya.

Menurut Mustaffa, doktor memberitahu, ketika itu matanya sudah pandang ke atas dan menjangkakan yang dia akan meninggal dunia.

“Macam-macam cara saya buat, tidur meniarap, tarik nafas panjang-panjang walaupun dada sakit dan terus berdoa,” katanya.

Ujar Mustaffa, dia bersyukur apabila kadar oksigen di dalam badannya semakin meningkat dengan cara itu.

“Banyak kali saya pesan kepada pesakit lain supaya lawan dan kuatkan semangat,” jelasnya.

Selain itu, antara perkara sedih yang dilalui ialah apabila terdengar pesakit membuat panggilan video dengan ahli keluarga ketika nazak sebelum mereka melelapkan mata buat selama-lamanya.

Sementara itu, Ahmad Muzambique Hamzah, 47, pula menceritakan, dia melalui pe­ngalaman menginsafkan apabila melihat pesakit di sebelah katilnya silih berganti meninggal dunia ketika dirawat selama 16 hari di ICU Hospital Sungai Buloh pada awal tahun ini.

Ahmad Muzambique (belakang, kanan) bergambar bersama ahli keluarganya.

Kakitangan awam itu berkata, dia begitu takut mengenangkan nasibnya apabila disahkan berada di kategori empat.

“Saya hanya mampu berdoa semoga dipanjangkan usia ketika melihat pesakit lain silih berganti meninggal dunia.

“Tidur pun tidak nyenyak dan jiwa tak tenteram. Menerima rawatan di ICU akibat Covid-19 merupakan pengalaman pahit,” katanya.

Tambahnya, selepas tiga hari keluar ICU dan dipindahkan ke wad biasa, doktor memberitahu yang dia sudah boleh pulang, namun pada hari keempat, dia mula mengalami masalah pernafasan sebelum dimasukkan semula ke ICU.

“Ada pesakit yang saya berbual dan kenal meninggal dunia keesokan hari,” ujarnya yang tidak me­nyangka dijangkiti virus tersebut walaupun telah mematuhi prosedur operasi standard ketika bertugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN