SELEPAS beberapa tahun hidup dalam maksiat, noda dan dosa, akhirnya Akif (bukan nama sebenar) menyesal dan bertaubat daripada semua perkara mungkar tersebut.
Ia bermula selepas Akif bermimpi berada pada satu tempat panas dikelilingi api beberapa kali menyebabkan dia berasa takut dan dikejar bayangan dosa-dosa semalam.
Isterinya Ina bagaimanapun masih enggan meninggalkan dunia kotor tersebut walaupun dipujuk Akif beberapa kali untuk berubah.
Selepas dua tahun tidak berubah, akhirnya Akif tidak mempunyai pilihan selain menceraikan Ina kerana tidak mahu terus menanggung dosa isterinya.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
MENGIMBAU kembali zaman remajanya, Akif (bukan nama sebenar) mengakui dia sememangnya seorang yang nakal.
Sewaktu alam persekolahan, dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelajar perempuan bernama Ina (bukan nama sebenar) yang akhirnya dikahwininya.
Ditakdirkan pada usia awal 20-an, mereka berdua dipaksa berkahwin oleh keluarga selepas ditangkap khalwat.
“Kami berdua tidak kisah walaupun dipaksa berkahwin pada usia agak muda kerana mencintai antara satu sama lain.
“Setelah berkahwin, kami tinggal bersama keluarga kerana belum mempunyai kemampuan untuk menyara diri,” jelas Akif.
Akif turut mengakui, dia dan isterinya boleh dikatakan sama-sama liar pada waktu itu dan sentiasa mahu mencari keseronokan kerana mereka masih muda.
Mereka sering keluar merempit bersama rakan-rakan lain, selain suka berhibur di kelab-kelab malam.
Akif mengakui, kehidupan mereka terpesong jauh daripada landasan agama hinggakan tidak berasa bersalah meneguk arak ketika berhibur di kelab malam.
Selain itu, bagi menambah keseronokan di usia muda, dia dan isteri turut mengambil dadah semata-mata untuk berhibur.
Beberapa tahun kemudian, mereka mengambil keputusan untuk berpindah dari rumah keluarga kerana telah mendapat pekerjaan.
Menurut Akif, rumah mereka sering menjadi ‘port’ untuk dia dan kawan-kawan yang lain melepak dan mengadakan parti liar.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, dia sering mengalami mimpi ngeri seolah-olah memberi petunjuk kepadanya untuk berubah menjadi insan lebih baik.

“Saya sering bermimpi berada di satu kawasan panas yang dikelilingi api. Apabila terjaga dari tidur, saya rasa takut sekali.
“Sejak mendapat mimpi itu, saya rasa sudah tiada keinginan untuk berhibur dan insaf perkara-perkara mungkar yang pernah dilakukan,” katanya.
Tambahnya, selepas itu, dia mula mempelajari agama dan berubah menjadi insan yang lebih baik.
Malangnya, perubahan itu dialami oleh Akif seorang sahaja, sedangkan isterinya masih hanyut dengan keseronokan dunia.
Jelas Akif, dia mengajak isterinya untuk berubah dan meninggalkan perkara maksiat, namun Ina berdegil dan mengatakan dia masih belum bersedia sepenuhnya dan tidak puas lagi mengejar keseronokan.
“Saya sedih Ina masih keluar berhibur. Saya tidak berupaya untuk menghalangnya kerana dia seorang yang keras kepala,” terang Akif.
Hampir setahun kemudian, Akif masih belum dapat memujuk isterinya itu berubah ke arah kebaikan.
Akif turut memakumkan kepada Ina bahawa sebagai suami, dia menanggung segala dosa yang dilakukan isterinya itu.
Ina membalasnya dengan kata-kata yang amat pedih sekali, jika tidak mahu menanggung dosa, dia minta dilepaskan, cerita Akif lagi.
Akif tidak berputus asa dan memberi masa kepada isterinya itu untuk berubah.
Setelah hampir dua tahun, isterinya masih tidak berubah, Akif mengambil keputusan untuk melepaskannya.
Ina langsung tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila Akif menceraikannya.
Akhirnya mereka berdua sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.
Akif mengakui dia masih menyayangi isterinya kerana Ina adalah cinta pertamanya.














