PETALING JAYA – Ketika industri hiburan sedang berduka dengan keadaan penyanyi Siti Sarah yang masih bertarung nyawa akibat Covid-19, pelakon Datin Fouziah Gous juga turut berdepan situasi serupa.
Menurut Fouziah, abangnya Syed Baba Mohd. Gous kini kritikal kerana Covid-19 dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital.
Isteri abangnya yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak juga positif Covid-19, namun kini berada dalam keadaan baik.
“Minggu ini terlalu tertekan untuk saya. Dengan keadaan yang semakin tenat. Tak perlu saya terangkan, anda semua pun tahu apa yang sedang melanda di sekeliling kita.
“Tak sangka abang tercinta saya pun dalam ICU, dengan isteri yang menunggu masa untuk bersalin. Isterinya juga positif Covid-19 tapi alhamdulillah dia dah okey,” katanya.
Tambah Fouziah, kesedihan memikirkan keadaan abangnya bertambah sayu apabila mengikuti situasi kritikal yang berlaku terhadap rakan artis, Siti Sarah.
“Rasa gugur jantung! Hanya Allah sahaja tahu perasaan ini. Dari semalam hanya dua orang ini saja bermain dalam fikiran dan doa saya.
“Jika ada yang kenal abang saya, mohon maafkan segala kesalahannya jika dia pernah menyakiti sesiapa. Doakan dia dan juga semua yang sedang melalui ujian sama. Sama-sama kita maafkan semua, solat hajat dan baca al-Quran untuk meminta pertolongan Allah SWT.
“Semoga Allah angkat segala doa kita dan selamatkan kita daripada malapetaka ini. Amin,” ujarnya. – K! ONLINE