JERANTUT – Meskipun berlaku lambakan buah durian kampung di beberapa tempat pada masa ini namun perkara itu tidak berlaku di Kampung Damak di sini yang menjadi antara kawasan pengeluaran durian kampung terkenal di negeri ini.
Kewujudan pelbagai jenis durian kampung premium di daerah itu membuatkan harga raja buah di situ tidak ‘jatuh’ malah terus mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemar raja buah.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Damak, Zulkifli Mahmud berkata, antara buah durian kampung premium yang terkenal di kampung berkenaan ialau mas hijau, seri damak, kulit buaya, kepala gajah, damak king, tembaga damak, tangkai panjang dan buloh poh.
“Pada tahun ini ada satu lagi baka baharu durian kampung premium ditemukan yang masih belum diberikan nama dan menjadi rebutan peminat raja buah kerana mempunyai isi dan buah yang berkualiti.
“Kewujudan pelbagai buah durian kampung premium serta kemunculan buah durian kampung premium baharu berterusan menyebabkan buah durian kampung di sini mendapat permintaan yang menggalakkan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zulkifli, harga buah durian kampung premium yang dijual di kampung itu adalah antara RM15 hingga RM18 sekilogram dan mendapat permintaan berterusan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














