KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap permohonan tambahan sebanyak sejuta bekalan dos vaksin Covid-19 melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dapat disegerakan dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok di negeri ini menjelang Oktober depan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau khuatir sekiranya bekalan itu lewat, usaha untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi rakyat di negeri ini sebelum musim tengkujuh tidak dapat dilaksanakan.
Ahmad berkata, setakat ini, hampir 30 peratus rakyat di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama dan untuk dos kedua sudah mencapai 13 peratus.
“Kita mengharapkan Kelantan akan mencapai 40 peratus imuniti kelompok pada bulan ini. Jadi, kerajaan negeri terus mempergiatkan operasi setiap lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan.
“Saya berharap usaha bersungguh-sungguh pihak kerajaan dengan bantuan pihak PPV dan sukarelawan dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok sebelum musim banjir hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














