Oleh MOHD. AZLI ADLAN, NORLIDA AKMAR IDROS, LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, ASLIZA MUSA, KHAIRUL MOHD. ALI
PETALING JAYA – Peningkatan kes positif harian Covid-19 yang sebelum ini lebih tertumpu di Lembah Klang kini menular ke beberapa buah negeri, sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada sistem kesihatan awam di seluruh negara.
Dalam tempoh dua minggu sejak 15 Julai lalu, beberapa buah negeri telah merekodkan pertambahan mendadak yang dikaitkan dengan pelbagai aktiviti sosial terutama pada musim perayaan Aidiladha lalu.
Antara negeri yang mencatat peningkatan ketara termasuklah Kedah, Johor, Sabah, Terengganu dan Perlis.
Sebagai contoh, sebanyak 1,511 kes direkodkan di Kedah semalam, berbanding 695 kes pada 15 Julai lalu, manakala Terengganu mencatat 429 kes pada 31 Julai berbanding hanya 70 kes dua minggu lalu.
Di Terengganu, peningkatan mendadak luar jangka di negeri ini dikenal pasti berpunca daripada kedegilan masyarakat yang masih melakukan aktiviti sosial tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 883 kes harian yang dicatat pada 30 Julai lalu merupakan angka tertinggi yang dicatat di negeri itu sejak penularan wabak awal tahun lalu.
“Segelintir masyarakat dikesan masih melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri pada sambutan Aidiladha seterusnya mengadakan majlis sosial secara sembunyi-sembunyi.
“Selain itu, penularan pantas kes dalam kalangan komuniti turut disumbang oleh kemasukan pekerja kontrak warga asing yang tidak disaring,” katanya.
Ahmad Samsuri juga tidak menolak aktiviti saringan besar-besaran secara bersasar terhadap kontak rapat di beberapa lokaliti turut menyumbang kepada peningkatan kes aktif positif di Terengganu.

Di Perak, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes mendadak di negeri ini dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi lain bagaimanapun sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi situasi tersebut.
“Terdapat peningkatan kes Covid-19 di negeri Perak sejak kebelakangan ini terutama kes-kes kategori empat dan lima yang memerlukan rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU).
“Setakat semalam (kelmarin), terdapat 121 pesakit sedang dirawat di ICU dengan kadar purata harian penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.
Di Johor, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa faktor penyebab kepada peningkatan kes positif Covid-19 yang disumbangkan kluster industri dan kluster dalam komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, struktur sosioekonomi negeri Johor yang berasaskan industri turut menjadi faktor penyumbang.
“Johor telah menyediakan konsep Johor Industrial Preparedness Plan (JIPP) yang menekankan tanggungjawab industri mengambil tindakan pencegahan dan kawalan lebih ketat terhadap Covid-19,” jelasnya.

Di Sabah, kerajaan negeri bakal mengumumkan polisi baharu dalam usaha menangani peningkatan kes di negeri ini.
Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain memperhebatkan saringan besar-besaran, pihaknya juga akan meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk.
“Kita bukan hanya tumpu kepada saringan besar-besaran tetapi juga meningkatkan pemberian vaksin,” katanya.
Di Perlis, kerajaan negeri menetapkan hanya seramai 12 orang terdiri daripada pegawai bertugas iaitu imam, bilal dan siak serta jawatankuasa kariah dibenarkan untuk melaksanakan solat jemaah di ruang terbuka di enam buah masjid di Kuala Perlis bermula semalam.
Enam masjid terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad di masjid-masjid tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik di seluruh negara termasuk Perlis.
Di Melaka, kerajaan negeri membatalkan perancangan untuk membangunkan hospital medan di Hospital Jasin, sebaliknya pusat rawatan sementara akan dibuka di Hospital Melaka dalam masa terdekat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perubahan lokasi dibuat setelah mengambil kira kemudahan fasiliti asas termasuk bekalan elektrik yang diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membangunkan hospital tersebut.
Jelasnya, hospital berkenaan dijangka dibangunkan di dataran parkir Hospital Melaka kerana mempunyai keluasan sesuai. -K! ONLINE















