fbpx
Berbanding model 3 Series biasa, jentera terbaharu itu hadir dengan panjang 4,819 milimeter (mm) iaitu 110mm lebih panjang dengan jarak antara roda 2,916mm.

Varian lebih panjang ‘longwheel base’ BMW 3 Series

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini BMW Malaysia telah mengesahkan harga model 330Li M Sport selepas diperlihatkan secara rasmi pada 9 April lalu.

Apa yang menarik, model premium berharga RM277,164.22 itu merupakan varian BMW 3 Series long wheelbase yang pertama dipasang di Malaysia.

Longwheel base adalah varian kenderaan yang jarak antara rodanya panjang.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, pihaknya berbesar hati untuk membuka tempahan bagi ‘ahli’ terbaharu dalam portfolio kenderaan premium yang dipasang di dalam negara ini iaitu BMW 330Li M Sport.

“Ekoran kejayaan yang dicatat di peringkat global dalam enam bulan yang pertama bagi tahun 2021, kami yakin model BMW 3 Series long wheelbase yang pertama dan dipasang secara domestik ini bakal mengukir senyuman pada wajah para pelanggan dan peminat di Malaysia setelah mereka mengamati erti ketangkasan dalam sebuah dimensi baharu,” katanya.

Model BMW 330Li M Sport itu kini turut dilengkapi aplikasi My BMW App baharu untuk menawarkan interaksi digital yang lebih hebat antara pemandu dan kenderaan.

Pemiliknya kini dapat menikmati interaksi digital bertaraf lebih tinggi melalui aplikasi itu kerana ia menawarkan akses mudah ke atas pelbagai perkhidmatan berjarak jauh, navigasi dan fungsi e-mobiliti.

Aplikasi terbaharu itu akan menggantikan aplikasi BMW Connected menjelang Julai 2021 dan ia kini boleh dimuat turun di telefon pintar Android dan iOS.

VARIAN ini lebih panjang berbanding model biasa 33i M Sport dengan rupa keseluruhan yang begitu sofiskated.

Selain aspek praktikaliti, jentera itu turut menawarkan aspek keselesaan dalam kelasnya.

Bentuk badan BMW 330Li M Sport yang memanjang juga menyerlahkan reka bentuk elegannya yang dapat dilihat dari hadapan hingga ke belakang.

Jeriji kidney BMW 330Li M Sport juga menyerlahkan reka bentuk sofistikated dan sporty.

Ia juga disempurnakan dengan lampu hadapan jenis LED adaptif yang canggih dan boleh dilaras secara automatik mengikut pelbagai keadaan jalan.

Berbanding model 3 Series biasa, jentera terbaharu itu hadir dengan panjang 4,819 milimeter (mm) iaitu 110mm lebih panjang dengan jarak antara roda 2,916mm. Ukuran itu juga membezakannya secara visual dengan varian 330i M Sport.

Ketinggian kereta itu turut dipertingkatkan sebanyak 6mm. Rekaannya juga membawakan sentuhan umpama coupe pada garis bumbungnya.

BMW 330Li M Sport itu turut hadir dengan pakej M Aerodynamics dan M Sport Packages.

Ciri-ciri itu termasuk rim aloi dua tona berukuran 18 inci dengan tayar run flat, kemasan paip ekzos dwisisi dengan gubahan berbentuk trapezium di belakang serta bumbung kaca panoramik.

Model itu didatangkan dengan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo empat silinder dan transmisi lapan kelajuan Steptronic Sport.

Gabungan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 258hp pada 5,000 hingga 6,500rpm dan tork maksimum 400Nm pada 1,550 hingga 4,400rpm.

Melalui kuasa yang disalurkan itu membuatkan kereta ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.2 saat.

Di atas kertas, BMW mendakwa kelajuan tertinggi model itu mencecah 250km/j.

BAHAGIAN hadapan kenderaan ini begitu menarik dan elegan.

Dari sudut penggunaan bahan api pula, pemanduan BMW 330Li M Sport untuk jarak perjalanan sejauh 100 kilometer (km) hanya memerlukan 6.4 liter petrol.

Masuk ke ruang kabin, tumpuan diberikan ke atas reka bentuknya yang moden dan mewah.

Ia membawakan kemasan trim dalam Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome yang menyerlahkan kabin jentera ini.

Turut lebih memberikan dimensi baharu ialah ruang kepala yang berukuran 4mm lebih tinggi berbanding BMW 330i M Sport dan tambahan sebanyak 42mm bagi ruang kaki disediakan untuk penumpang di bahagian belakang.

Persis sebuah limosin, kenderaan ini amat sesuai untuk dimiliki seseorang bos yang mahu menggunakan khidmat pemandu.

Ruang but dengan kapasiti 480 liter turut dinaik taraf dengan pakej kompartmen muatan.

Di bahagian kokpit, ruang pemandu dihiasi dengan stereng kulit M serta pedal M-specific termasuk pelarasan kerusi elektrik dengan fungsi memori.

Turut menjadi tumpuan di dalam ruang kabin BMW 330Li M Sport ialah hamparan lantai velor dan lampu ambien dengan 11 gubahan pencahayaan serta penyaman udara automatik tiga zon.

Tidak ketinggalan, sistem pembesar suara hi-fi yang menyajikan hiburan yang cukup mengagumkan ketika memandu.

Sistem Comfort Access yang juga ditawarkan sebagai standard menyediakan lebih banyak keselesaan bagi pemilik jentera BMW 330Li M Sport ini.

PERTAMBAHAN kepanjangan turut bermakna pertambahan luas pada ruang dalaman sekali gus menawarkan keselesaan tidak kira di bahagian pemandu mahupun penumpang.

Sistem hiburan, maklumat dan paparan pemandu hadir dalam bentuk BMW Live Cockpit Professional yang berpaparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci berserta BMW Navigation System Professional berskrin sentuh 10.25 inci.

Panel instrumen dengan material Sensatec dan Galvanic Embellishers pula memberi sentuhan tambahan kepada suasana ruang interior yang eksklusif.

Antara ciri menarik lain pada model ini juga adalah cruise control dengan fungsi brek, bantuan parkir dengan cermin pandang belakang selain sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety).

Kemudahan pemanduan pula merangkumi fungsi-fungsi seperti amaran pengeluaran laluan, amaran penukaran laluan, amaran perlanggaran hadapan, amaran rentas trafik serta pencegahan perlanggaran belakang.

Fungsi panggilan kecemasan pintar pula amat berguna sekiranya memerlukan bantuan pada bila-bila masa.

BMW Malaysia menawarkan dua warna bagi model ini iaitu putih (Mineral White) dan hitam (Carbon Black). Upholsteri kulit Vernasca dalam warna mocha dengan sulaman hitam menyempurnakan kedua-dua warna luaran yang ditawarkan itu.

Varian terbaharu itu kini berada di semua pusat pengedar BMW yang bertauliah di seluruh negara.

Bagaimanapun, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terkini, rangkaian pusat wakil pengedar ditutup dan para pelanggan digalakkan membuat kunjungan dalam online untuk menyaksikan BMW 330Li M Sport.

Para pelanggan juga boleh menghubungi wakil pengedar pilihan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN