“Bila panda datang ke Malaysia kita tawarkan semua buluh… panda hanya ambil buluh betung dan buluh betung itu adalah yang datangnya dari Kampung Kundur Hulu ini.
“Buluh dari tempat lain, panda tak makan. Panda hanya sentuh, cium dan kemudiannya buang. Hanya buluh di Rembau ini sahaja panda makan. Buluh Kundur Hulu ini semua panda makan baik batang, daun dan rebungnya,” ujar Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli.
Menurutnya, antara rahsia atau penyebab buluh di Kundur Hulu menjadi pilihan panda ialah lokasi penanaman buluh berhampiran dengan sumber air iaitu sungai.
“Kandungan gula pada batang buluh mungkin lebih sikit di kawasan penanaman berhampiran sumber air, berbanding sekiranya ditanam di kawasan jauh sumber air seperti kawasan berbukit,” jelasnya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
Siapa sangka, siapa menduga, buluh betung yang ditanam di kawasan sawah terbiar di Kampung Kundur Hulu, Rembau, Negeri Sembilan sejak tahun 2002 kini menjadi produk kebanggaan penduduknya.
Kawasan yang pada masa ini mencecah seluas 16 hektar dengan tujuh penama tanah itu menyediakan kira-kira 700 rumpun buluh untuk dijual ke pasaran baik dalam bentuk batang, daun mahupun rebung madu yang boleh dimakan begitu sahaja.
Lebih menarik, buluh itu merupakan satu-satunya buluh di dalam Malaysia yang mampu memikat selera beruang panda di Zoo Negara.
Menurut Pengurus Projek Buluh Kampung Kundur Hulu, Mohamad Sharif Rashid, 63, projek berkenaan dimulakan oleh seorang usahawan yang memajak tanah sawah terbiar tersebut bagi menanam jenis buluh betung madu yang benihnya berasal dari Taiwan.
“Projek ini pada mulanya adalah untuk mengeksport rebung madu ke pasaran luar negara. Kemudian, buluh di sini juga mendapat kontrak selama dua tahun untuk dieksport ke Switzerland bagi penghasilan produk kraf tangan dan perabot.
“Pada Mei 2014, projek buluh ini sekali lagi mendapat peluang di luar jangkaan apabila menjadi pilihan makanan utama buat Panda Giant di Zoo Negara,” katanya ketika ditemui K2 di Kampung Kundur Hulu baru-baru ini.
Mohamad Sharif berkata, projek buluh berkenaan kini menjadi antara projek utama bagi Koperasi Masjid Kariah Kampung Kundur Hulu dan dilihat berpotensi untuk menjana pendapatan buat anggota kariah yang menjadi ahli koperasi.

Menurutnya, kontrak sebagai pembekal makanan panda itu adalah sehingga tahun 2024 dan sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh seminggu, kakitangan Zoo Negara akan mengambil buluh di situ untuk bekalan makanan panda.
“Daripada hanya bekalan makanan buat dua ekor panda gergasi yang diberi nama Liang Liang (betina) dan Xing Xing (jantan) yang dipinjamkan kerajaan China kepada Malaysia, kini buluh berkenaan turut menjadi makanan kesukaan dua anak panda berkenaan,” terangnya penuh keterujaan.
Sementara itu, Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli berkata, pada peringkat awal, pihaknya telah membawa tujuh jenis buluh antaranya buluh betung, beting, tiang dan pagar ke negara China untuk diberikan kepada panda di sana.
Menurutnya, kesemua jenis buluh disentuh serta dimakan sedikit oleh panda dan pihaknya membuat kesimpulan ketujuh-tujuh jenis buluh tersebut mungkin dimakan panda apabila dibawa ke Malaysia nanti.
“Jadi kita cari sumber buluh paling banyak yang kemungkinan akan menjadi sumber makanan buat panda.
“Antara buluh yang kita telah kenal pasti ialah buluh jenis pagar, botol, betung dan beting dari Paya Indah Wetlands di bawah kelolaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Selain itu, pihak kami juga mencari bekalan buluh di pelbagai tempat lagi antaranya di Kulai, Johor dan Raub, Pahang, selain di Kundur Hulu, Negeri Sembilan.
“Bila panda datang ke Malaysia kita tawarkan semua buluh… panda hanya ambil buluh betung dan buluh betung itu adalah yang datangnya dari Kampung Kundur Hulu ini.
“Buluh dari tempat lain, panda tak makan. Panda hanya sentuh, cium dan kemudiannya buang. Hanya buluh di Rembau ini sahaja panda makan,” ujarnya.

Menurutnya, antara penyebab atau rahsia buluh di Kundur Hulu menjadi pilihan panda ialah lokasi penanaman buluh berhampiran dengan sumber air iaitu sungai.
“Kandungan gula pada batang buluh mungkin lebih sikit di kawasan penanaman berhampiran sumber air, berbanding sekiranya ditanam di kawasan jauh sumber air seperti kawasan berbukit,” jelasnya.
Mat Naim berkata, bagi buluh di kawasan berbukit, panda hanya memilih untuk makan rebung sahaja.
“Buluh Kundur Hulu ini semua panda makan baik batang, daun dan rebungnya,” katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan usia buluh, panda makan buluh yang berusia dua tahun ke atas dan di Kundur Hulu, banyak buluh matang serta menepati cita rasa binatang berkenaan.
“Panda akan makan enam batang buluh sehari dan dari segi kos makanan buluh sahaja, Zoo Negara membelanjakan kira-kira RM6,000 untuk semua panda,” terangnya.
Selain Liang Liang dan Xing Xing, terdapat dua anak panda di Zoo Negara iaitu Yi Yi (jantan) yang sudah pun berusia empat tahun dan terbaharu panda betina lahir pada 31 Mei lalu yang masih belum diberikan nama. Yi Yi
sepatutnya perlu dihantar pulang ke negara asalnya pada April tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Menurut Mat Naim, bagi Liang Liang yang baru sahaja melahirkan anak, panda berkenaan hanya makan rebung yang disuap sahaja kerana tangannya tidak mampu bergerak.
“Rebung buluh dari kampung ini penting pada masa mak (Liang Liang) melahirkan anak. Dalam masa dua ke tiga bulan selepas melahirkan anak, tangan si ibu tidak bergerak dan tak dapat memegang buluh. Jadi si ibu perlu disuapkan rebung,” katanya.

Menurutnya, panda tetap menjadi tarikan utama di Zoo Negara yang kini menempatkan 400 ekor binatang dari 350 spesies.
“Pada tahun pertama dan kedua, bilangan pengunjung meningkat sebanyak 50 peratus. Bagaimanapun, kunjungan merosot pada tahun 2016 sehinggalah pandemik Covid-19, Zoo Negara terpaksa ditutup kepada kehadiran pengunjung.
















