fbpx

PDRM siasat tiga sekeluarga pura-pura minum racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tersebut yang tular di laman Facebook.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung penularan klip video di media sosial memaparkan tiga sekeluarga yang berpura-pura meminum racun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, klip video berdurasi 16 minit 3 saat itu menunjukkan tiga sekeluarga meminum racun kerana masalah kemurungan.

“Individu di dalam video tersebut mempertikaikan usaha dan menggesa kerajaan mengambil tindakan drastik dalam menangani isu pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kemurungan dalam kalangan rakyat sekali gus menyumbang kepada kes bunuh diri di negara.

“Pada minit ke 11.15 hingga 11.25 dalam video itu menunjukkan suspek mengakui tindakannya itu merupakan ‘role play’ dan cecair diminumnya bukan racun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa susulan insiden itu.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588).

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya,” jelasnya.

Tegasnya, tindakan menularkan perlakuan bunuh diri di media sosial boleh mengundang kepada ‘Copycat Suicide’ bagi mereka yang berisiko seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu semasa yang bersifat sensitif.

“Polis turut menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara, malah tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung video tindakan seorang lelaki yang mendakwa telah memberi minuman racun kepada anak, isteri dan dirinya sendiri yang tular di media sosial baru-baru ini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI