BERMULA awal tahun lalu, wanita berusia 53 tahun itu mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga neneknya, Yah Kawi yang sedang uzur akibat sakit tua.
Noriaini Mohd. Ramli memilih untuk menjaga warga emas berusia 95 tahun itu sebagai memenuhi amanat ibu bapa Noriaini yang sudah meninggal dunia.
Rutin harian bekas pekerja hotel itu bersama seorang lagi sepupunya adalah menyediakan makan, memandikan, memberi ubat serta menemani nenek mereka yang terlantar di atas katil.
Sejak berlakunya peningkatan kes Covid-19 di negara ini pada tahun lalu, Noriaini mula berasa bimbang sekiranya virus berkenaan memberi kesan kepada neneknya.
Dia takut sekiranya dijangkiti virus berkenaan secara tidak sedar di luar rumah dan menjangkiti neneknya yang berisiko mengalami komplikasi teruk sehingga boleh membawa maut.
Tambahan pula, kes Covid-19 di kawasan kediaman mereka di Ampang, Selangor menunjukkan peningkatan ketara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada akhir tahun lalu.

Rentetan itu, dia sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan neneknya mendapatkan suntikan vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi perlindungan.
“Saya sangat bimbang sekiranya nenek dijangkiti Covid-19. Jadi, saya fikir dia perlu dilindungi oleh suntikan vaksin dengan seberapa segera.
“Pada mulanya, saya ingin mendaftarkan permohonan vaksin nenek menerusi aplikasi MySejahtera. Namun, saya mempunyai kekangan untuk membawanya ke pusat pemberian vaksin (PPV). Kebiasaannya pendaftar vaksin menerusi aplikasi itu akan diberikan tarikh janji temu vaksin berserta lokasi PPV untuk dihadiri, sedangkan sukar bagi saya membawa nenek yang terlantar itu ke PPV,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Masalah yang membelenggu Noriaini akhirnya terlerai pada minggu lalu apabila mendapat satu panggilan temu janji vaksin untuk neneknya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pihak JKM memaklumkan, neneknya akan mendapat vaksin jenis Pfizer di rumah daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) menerusi program Klinik Bergerak.
“Saya sangat bersyukur apabila nenek terpilih menjadi salah seorang penerima vaksin menerusi program Klinik Bergerak. Program ini membolehkan nenek saya mendapat vaksin di rumah.
“Pada saya, program ini sangat baik kerana ia dapat membantu memudahkan golongan terlantar seperti nenek saya mendapatkan vaksin dengan mudah dan cepat. Lagi pula, golongan ini sangat berisiko tinggi,” jelasnya.
PBSM merupakan salah satu daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Hab Penyelaras dan Tindakan Kemanusiaan Malaysia (MATCH) yang terlibat dalam pemberian suntikan vaksin.

Antara NGO yang terlibat dalam program Klinik Bergerak termasuklah St. John Ambulance of Malaysia, Mercy Malaysia, Imam Response & Relief Team, Malaysian Relief Agency dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.
Bagi fasa pertama yang dilancarkan baru-baru ini, PBSM menggerakkan pasukannya ke 280 buah rumah dihuni individu terlantar seperti uzur dan orang kelainan upaya (OKU) di sekitar Lembah Klang.
Individu yang perlu divaksin menerusi program Klinik Bergerak dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), pejabat JKM di daerah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Menariknya, pihak PBSM mengambil pendekatan untuk memberi vaksin bukan sahaja kepada individu terlantar dan OKU, malah kepada seluruh ahli keluarga yang tinggal bersama golongan tersebut.
Seorang lagi penerima manfaat daripada pendekatan tersebut ialah Norhasmawati Ismail, 45, yang menerima vaksin Pfizer di rumahnya.
Ujarnya, dia menerima vaksin berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada abangnya yang merupakan seorang OKU yang tidak boleh berjalan sejak kecil.
“Hari ini, kami semua enam orang adik-beradik yang tinggal dalam satu rumah termasuk abang yang merupakan OKU menerima suntikan vaksin daripada PBSM.
“Disebabkan program ini, kami yang normal ini juga mendapat vaksin lebih cepat dan mudah. Kami tidak perlu ke PPV, sebaliknya doktor yang datang suntik vaksin di rumah,” katanya.
Norhasmawati yang merupakan seorang usahawan menambah, program Klinik Bergerak berkenaan sangat baik kerana memudahkan golongan OKU yang terlantar mendapat vaksin.
Mereka sekeluarga juga berpeluang mendapatkan maklumat secukupnya mengenai kebaikan dan kesan sampingan vaksin daripada doktor PBSM sebelum suntikan diberikan.
Penasihat Kebangsaan PBSM, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood berkata, program ini memberi fokus kepada individu yang terlantar di rumah dan warga OKU yang tiada kemampuan fizikal ke PPV.

Beliau yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai kesihatan awam memberitahu, golongan rentan tersebut akan menerima suntikan vaksin di rumah masing-masing.
“Ini merupakan inisiatif pertama program vaksinasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh badan kemanusiaan dengan kerjasama antara MATCH, Jabatan Kemajuan Kesihatan Keluarga dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Program ini dapat membantu mempercepat pembentukan imuniti kelompok dalam masyarakat. Kami di PBSM tidak mahu ada golongan yang tertinggal dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang giat berlangsung ketika ini,” jelasnya.
Beliau menambah, inisiatif Klinik Bergerak adalah selari dengan sasaran PBSM untuk memberikan penjagaan kesihatan kepada mereka yang memerlukan dan komuniti terancam.
Katanya, ia bagi memastikan golongan ini turut mendapat layanan sama rata memandangkan usaha melawan virus Covid-19 adalah tugas kemanusiaan bersama.
Pada peringkat permulaan, program berkenaan memfokuskan di Selangor. Mengikut data statistik dikeluarkan KKM, terdapat 2,136 pesakit terlantar di seluruh negeri ini.
“Pelancaran program hari ini menyaksikan lima pesakit terlantar di katil dan 13 ahli keluarga daripada lima isi rumah di Ampang telah menerima suntikan vaksin.
“PBSM juga menggerakkan empat pasukan sukarelawan di Lembah Klang yang dianggotai doktor, jururawat dan dua orang sukarelawan dengan diiringi oleh pegawai Jabatan Kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Jemilah berharap waris individu terlantar di seluruh negara supaya segera mendaftarkan permohonan vaksin di pusat kesihatan kerajaan berhampiran.
Jelasnya, usaha tersebut membolehkan pihak sukarelawan NGO hadir ke rumah dengan seberapa segera bagi memberikan suntikan vaksin Covid-19 agar tidak ada individu tercicir.
“Program ini akan diperluas ke seluruh negara tidak lama lagi. Jadi, orang ramai sudah boleh mengisi butir diri individu terlantar di pusat kesihatan berhampiran.
“Ia disebabkan pangkalan data mengenai individu terlantar ketika ini masih tidak menyeluruh. Masih ada golongan tertinggal terutamanya warga emas yang uzur,” tegasnya.














