MOSCOW – Kesemua 28 penumpang dan kru pesawat Rusia yang terhempas di Laut Okhotsk dipercayai terkorban selepas serpihannya ditemui pada malam semalam, lapor akhbar The Sun semalam.
Pesawat An-26 yang sebelum itu berlepas dari bandar Petropavlovsk-Kamchatsky ke bandar persisir pantai Palana itu dilaporkan terputus hubungan 10 minit sebelum waktu pendaratan yang dijadualkan dan hilang dari radar ketika cuba mendarat.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov berkata, pesawat berusia 39 tahun dari era Kesatuan Soviet itu terhempas ketika cuba untuk mendarat kali kedua disebabkan jarak penglihatan yang terhad.
Agensi Penerbangan Negara Rusia, Rosaviatsiya berkata, sebahagian daripada pesawat itu dijumpai kira-kira 9 kilometer dari lapangan terbang Palana berhampiran dengan persisir pantai Palana.
Sebahagian daripada serpihannya ditemui di lereng bukit dan beberapa bahagian lain terapung d Laut Okhotsk.
Agensi berita Rusia melaporkan, pesawat itu membawa 22 penumpang dan enam kru penerbangan.
Antara penumpang pesawat itu termasuk empat pegawai pentadbiran tempatan dan ketua bandar Palana, Olga Mokhiryova. – AGENSI