“MyUni berperanan seperti portal Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) tetapi portal ini dibina khas untuk IPTS sahaja bagi memudahkan pelajar membuat permohonan secara lebih sistematik, selamat selain turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan,” kata Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa.
Portal laman web www.myuni.com.my itu mendapat pengiktirafan Jabatan Pendidikan Tinggi dan beberapa agensi lain sebagai sistem permohonan pelajar untuk kemasukan ke IPTS.
“Ada seorang lepasan SPM bertanya kepada pihak MyUni sama ada dia berpeluang atau tidak melanjutkan pelajaran kerana hanya memperoleh keputusan minimum dalam SPM.
“Setelah disemak melalui sistem, dia sebenarnya masih berpeluang melanjutkan pengajian dalam kursus pengajian tertentu walaupun pada mulanya dia beranggapan peluang untuk ke IPT sudah tertutup,” ulasnya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
MELANJUTKAN pengajian dalam bidang perubatan merupakan cita-cita Nur Hazwani Muhamad sejak kecil tetapi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya baru-baru ini tidak memenuhi syarat untuk melanjutkan program tersebut di universiti awam.
Namun, atas dorongan dan nasihat guru serta keluarga, gadis berusia 18 tahun itu tekad untuk meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Segalanya menjadi mudah apabila Nur Hazwani menggunakan portal Malaysian Universities and Colleges Application System (MyUni) untuk membuat permohonan tersebut.
“Portal ini diperkenalkan guru saya kerana MyUni merupakan platform permohonan kemasukan pelajar yang menyenaraikan pelbagai IPTS berbeza di bawah satu bumbung.
“Jadi, ia memudahkan urusan permohonan pengajian saya tanpa perlu melayari satu per satu laman web IPTS berkaitan,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor kepada K2.
Hasil padanan maklumat diri, kecenderungan dan keputusan SPM, portal MyUni mencadangkan 20 IPTS untuk dipilih Nur Hazwani.
Portal tersebut memudahkan pemohon membuat pilihan tempat belajar dengan membuat perbandingan seperti yuran pembelajaran, fasiliti, lokasi dan sebagainya.

MyUni yang dibangunkan oleh Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) itu merupakan sistem permohonan pelajar bersepadu secara digital bertujuan sebagai pusat sehenti semua IPTS di Malaysia bagi memudahkan pelajar membuat permohonan melanjutkan pengajian.
Menurut Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md. Isa, inisiatif itu tercetus ekoran cabaran pandemik Covid-19 yang bermula sejak awal tahun lalu sehingga kemasukan pelajar menurun berikutan aktiviti promosi secara fizikal dan konvensional tidak dapat dilaksanakan.
“Justeru, persatuan ini cuba membantu ahli-ahli PKIBM dan juga IPTS di seluruh Malaysia yang terkesan pandemik Covid-19 untuk membangunkan portal MyUni dengan kerjasama syarikat berpengalaman dalam sektor pendidikan, Iklanika Sdn. Bhd. (Iklanika).
“MyUni berperanan seperti portal Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) tetapi portal ini dibina khas untuk IPTS sahaja bagi memudahkan pelajar membuat permohonan secara lebih sistematik, selamat selain turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan,” katanya yang berpengalaman lebih dua dekad dalam sektor pendidikan tinggi swasta.
Tambahnya, portal itu juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa agensi lain sebagai sistem permohonan pelajar untuk kemasukan ke IPTS.
Projek pembangunan portal itu bermula pada Mac 2020 dan sedia digunakan pada penghujung Mei lalu bagi kemasukan pelajar ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

PKIBM menyediakan input berkaitan seperti model, maklumat perlu ada dan cara pengoperasian untuk dilaksanakan Iklanika bersama pasukan teknikal mereka.
“Portal ini diharap dapat membantu sektor pendidikan tinggi swasta di Malaysia dan sejak dilancarkan sebulan lalu, sebanyak 50 IPTS telah berdaftar dengan MyUni. Kami bukan sahaja ingin menaikkan bilangan kemasukan pelajar menerusi sistem ini tetapi pada masa sama komited membantu kerajaan meningkatkan akses ke peringkat pengajian tinggi dalam kalangan lepasan sekolah,” tutur anak kelahiran Perak itu.
Ulas Amir Hamzah, pihaknya amat gembira dapat menyediakan peluang kedua kepada pemohon yang sangat berminat untuk melanjutkan pelajaran.
“Ada seorang lepasan SPM bertanya kepada pihak MyUni sama ada dia berpeluang atau tidak melanjutkan pelajaran kerana hanya memperoleh keputusan minimum dalam SPM.
“Setelah disemak melalui sistem, dia sebenarnya masih berpeluang melanjutkan pengajian dalam kursus pengajian tertentu walaupun pada mulanya dia beranggapan peluang untuk ke IPT sudah tertutup,” ulasnya sambil memberitahu, proses pemilihan bidang pengajian dilakukan dengan telus.
Antara keistimewaan MyUni ialah mempunyai butang pencarian automatik yang mana apabila pelajar memasukkan maklumat diri, keputusan peperiksaan dan minat, sistem akan padankan dengan IPTS yang menawarkan kursus tersebut.
Sistem MyUni juga menyediakan ruangan khas lokaliti iaitu pelajar boleh membuat permohonan pengajian di lokasi pilihan mereka.
Pelajar boleh membuat permohonan pengajian ke IPTS kali pertama secara percuma dan hanya dikenakan RM12 bagi permohonan seterusnya.

Berbeza dengan Unit Pusat Universiti (UPU), permohonan di MyUni dibuka sepanjang tahun memandangkan pengambilan pelajar di IPTS kebanyakannya dilakukan tiga kali setahun.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Iklanika, Ismail Fahmi Laily memberitahu, sistem permohonan pelajar yang menelan kos lebih RM300,000 itu dilakukan secara berperingkat.
“Pada ketika ini, MyUni boleh diakses untuk pemohon lepasan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), manakala dalam tempoh dua bulan lagi untuk permohonan pascasiswazah.
“Sekitar dua hingga tiga bulan lagi, kami bakal melancarkan aplikasi MyUni yang boleh dilayari di telefon pintar,” kongsinya yang memberitahu pihaknya juga sedang mengembangkan platform itu bagi pelajar asing membuat permohonan belajar di IPTS negara ini.
Ismail berkata, perkembangan tanpa henti itu dilakukan dalam usaha menjadikan MyUni sebagai portal bersepadu dan komprehensif yang merangkumi semua bidang pengajian.
Selain itu, portal MyUni turut membantu para pelajar dengan berkongsi pelbagai maklumat seperti tawaran bidang pengajian, profil IPTS, peluang kerjaya serta lain-lain.
Mengulas mengenai cabaran dalam membangunkan portal tersebut, Ismail berkata, bahagian paling sukar adalah untuk menyemak setiap IPTS yang ingin menyertai MyUni ditubuhkan secara sah mengikut undang-undang.
“Kami akan menyemak dengan teliti maklumat IPTS terutama daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengelakkan sebarang pertikaian dalam kalangan pemohon. Perkara ini sangat penting agar pelajar dapat belajar di institusi yang sah di sisi undang-undang dan tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang,” ujarnya.
Bagi menggalakkan penglibatan kesemua 435 IPTS di Malaysia, pihak MyUni menawarkan pendaftaran percuma selama dua tahun tanpa perlu membayar yuran penyelenggaraan dalam tempoh tersebut.
Tuturnya, MyUni berpotensi besar untuk dikembangkan dari semasa semasa, malah pihaknya juga bakal memperkenalkan komuniti MyUni yang akan disertai para pelajar yang merupakan pengguna platform itu.














