KULIM – Tiada apa yang lebih membahagiakan bagi seorang suami selain berkongsi kehidupan bersama tiga orang isterinya dalam suasana harmoni dan penuh kasih sayang.
Mohd. Syahrizan Abidin, 39, dari Karangan di sini berkata, kebahagian itu dicapai dengan berlandaskan prinsip penyayang, tegas dan sentiasa adil.
Katanya, amalan penting itu telah menjadi tonggak persefahaman antara dia dan tiga isterinya iaitu Rohaya Ilias, 35; Nazirah Abd. Rahman, 30, dan Norashikin Zawari, 20.
“Kami tinggal sebumbung dan kehidupan kami dalam keadaan harmoni. Jika ada masalah yang timbul, saya tidak pernah simpan, sebaliknya terus menyelesaikannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Syahrizan yang mengusahakan Pusat Rawatan Alternatif Darul Dakwah dengan bantuan tiga isterinya itu kini mempunyai 10 orang anak.
Katanya, dia mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Rohaya atas dasar suka sama suka pada tahun 2007 sebelum bertemu jodoh dengan Nazirah pada tahun 2013, seterusnya Norashikin pada tahun lalu.
Ujarnya, isteri kedua dan ketiganya itu dipinang sendiri oleh Rohaya.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Rohaya kerana tidak pernah menghalang saya untuk mendirikan rumahtangga.
“Malah, dia sendiri yang turun untuk meminang dan sebab itu kasih sayang saya kepadanya kian bertambah,” ujarnya.
Mohd. Syahrizan berkata, ketika mula berkahwin, pendapatannya hanya RM600 sebulan hasil berniaga ubat tradisional secara kecil-kecilan.
“Perniagaan yang saya usahakan juga beroperasi di rumah, jadi mereka sentiasa ada bersama. Keadaan itu menyebabkan tidak timbul perasaan dengki atau iri hati antara mereka.
“Mereka ada tugas masing-masing. Biasanya, isteri pertama akan memasak, isteri kedua sebagai juruakaun serta pemasaran dan isteri ketiga sebagai pendidik,” katanya.
Sementara itu, Rohaya berkata, mereka bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sentiasa berlaku adil.
“Kasih sayang ini dapat dilihat semasa majlis kenduri dan hari raya kerana kami akan berkumpul dan sangat akrab,” ujarnya. -K! ONLINE














